
Pernah Kena Bodyshaming, Azharina Tidak Peduli Stigma Masyarakat
Isu bodyshaming menjadi perhatian hangat baru-baru ini selepas insiden sedemikian berlaku dalam sebuah majlis anugerah yang mengiktiraf karyawan seni. Menyentuh mengenai perkara itu, penyanyi Azharina Azhar turut melahirkan pendapatnya sendiri berhubung isu tersebut.
Pernah dihina oleh orang terdekat dengannya, Azharina bagaimanapun enggan mengambil peduli tentang ‘kata-kata jahat’ individu tersebut.
“Jujur cakap berat badan saya naik sampai 10 kilogram bila susukan anak. Dari 60 kg naik sehingga 70 kg.
“Bila dah jadi macam itu, ada individu terdekat dengan saya pernah cakap badan kau gemuk nanti dah tak laku lagi, peminat tak suka. Dia tergamak bagi saya label seperti itu.
“Disebabkan perkara itu saya ambil keputusan berehat sebentar selama lebih kurang tujuh bulan sebelum kembali ke dunia seni,” katanya kepada KopiPlanet.com.
Azharina ditemui KopiPlanet.com pada majlis sidang media Sayembara Nyanyian Patriotik Selangor 2018 di ibu pejabat Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Petaling Jaya, semalam.
Susulan dilabel sebegitu, Azharina berkata dia enggan mengambil peduli memandangkan keutamaannya pada ketika itu adalah untuk menyusukan anak angkatnya.
“Saya kena utamakan anak saya walaupun mereka cuma anak angkat tapi saya sayang mereka seperti anak sendiri. Saya sendiri beri susu badan kepada mereka. Kalau saya nak jaga badan macam mana saya nak bagi susu badan pada mereka.
“Saya boleh sahaja makan pil kurus dan juga buat senaman berat untuk turunkan berat badan tapi saya lebih pentingkan tanggungjawab sebagai seorang ibu untuk besarkan anak-anak.
“Bagi saya, saya tidak peduli dengan tanggapan orang yang cakap kalau gemuk dah tak laku lagi. Sebaliknya itu semua merupakan rezeki daripada Allah, bukan manusia yang tentukan.
“Saya nak nasihat individu yang mungkin pernah melalui pengalaman di-bodyshaming seperti saya, kita kena sentiasa ada keyakinan diri yang cukup tinggi. Persetankan cakap orang nanti lama-lama kita akan lali sendiri. Yang paling penting kita sentiasa jaga diri dan kesihatan sendiri,” katanya lagi.
Penyanyi yang kini muncul dengan single terbaharu, Cinta Terbahagi Dua ini mempunyai dua anak angkat lelaki Rahmat Azharin Azhar Abdullah, 4, dan Redha Azharin Azhar Abdullah, 10 bulan.
Anak angkat kedua Azharina, Rizqie Azharin Azhar meninggal dunia pada 28 Mac tahun lalu akibat komplikasi pelbagai penyakit ketika berusia 23 hari.
Sementara itu, dalam perkembangan seni, Azharina akan membuat persembahan pada malam final Sayembara Nyanyian Patriotik Selangor 2018 yang akan berlangsung pada 22 September ini di Dewan Sivik MBPJ.
Menurut Azharina, dia menyokong penganjuran lagu-lagu patriotik memandangkan tidak banyak pertandingan lagu berunsur sebegitu diadakan sebelum ini.
“Pertandingan sebegini sangat bagus diadakan kerana secara tidak langsung ia boleh menyemarakkan lagi semangat cintakan negara.
“Kita kena selalu mainkan lagu-lagu kebangsaan di semua medium termasuk di media sosial agar generasi masa kini lebih menanamkan sikap cintakan negara dalam diri mereka,” katanya. – KopiPlanet.com