
Tiga pelapis muda bidang nyanyian berjaya dicungkil pada pertandingan YoungStarz Tour (YST) Radio Lagu Hits 2026 yang membuka tirai siri jelajah sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 18 (1) di sini, Ahad lalu.
Pertandingan nyanyian yang julung kali diadakan itu adalah anjuran bersama syarikat rakaman Sony Music Entertainment Malaysia bersama syarikat pengurusan artis MindOrder Sdn Bhd serta disokong oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
Pada pertandingan itu, Haieqal Daienish, 16, yang mempertaruhkan lagu Bintang (nyanyian asal Budak Kacamata) diangkat sebagai juara. Manakala Haifa Sufiya, 13, menyandang naib juara menerusi lagu Hero (Mariah Carey). Syafi Rayyan, 16, yang menyampaikan Sampai Hati (Spring) pula berada di tempat ketiga.
Juara membawa pulang RM500, naib juara menerima RM300 dan tempat ketiga RM300, selain sijil penyertaan setiap satu.
Kesemua 18 peserta yang berentap pada YST 2026 ini dipilih daripada 200 penyertaaan awal para pelajar sekolah menerusi platform media sosial Radio Lagu Hits.
YST 2026 dijurikan oleh penyanyi Azzam Sham dan guru vokal dan penyanyi, Afif Tirmizie. Acara turut dimeriahkan dengan persembahan penyanyi-penyanyi popular seperti Naqiu, Kidd Santhe, NAZU dan Adrianna Cinta.

Naqiu yang mewakili MindOrder Sdn Bhd berkata penganjuran pertandingan ini adalah inisiatif positif bagi mencari pelapis penghibur dalam kalangan anak muda.
“Ini adalah pertama kali pertandingan nyanyian anjuran syarikat pengurusan artis dan syarikat rakaman diadakan di dalam sekolah. Ia adalah idea bijak dan efektif bagi mendekati remaja yang berbakat dalam nyanyian.
“Kami juga tidak sangka lebih 200 pelajar mengirimkan penyertaan menerusi platform media sosial tapi hanya 18 yang berjaya melepasi peringkat saringan sekaligus bersaing pada hari ini.
“Saya amat berpuas hati dengan persembahan mereka. Semuanya berbakat dan berpotensi menjadi penghibur profesional pada satu hari nanti,” katanya yang turut mempersembahkan lagu Episod Cinta dan Juwita.

Sementara itu, Kidd Santhe menganggap acara ini bukan sekadar pertandingan nyanyian semata-mata.
“Ia adalah aktiviti sihat untuk anak muda selari dengan visi kerajaan dalam membentuk generasi muda yang lebih berdaya saing.
“Ia juga satu inspirasi kepada anak muda khususnya pelajar sekolah bagi memilih minat yang positif dan bekerja keras dalam mengejar impian,” katanya.
Selain menghiburkan hadirin dengan lagu Ambani Money dan Haa Tepok, Kidd Santhe juga berkongsi sesi insipirasi selama 20 minit mengenai kesungguhan untuk mengejar impian.
Seterusnya, jelajah YST 2026 akan berlangsung pada Jun depan di beberapa lokasi yang akan diumumkan termasuk Johor, Melaka, Pahang, Pulau Pinang dan Kelantan.



