FilemTerkini

Petaka Tampilkan Elemen Heavy Drama, Sarat Dengan Konflik Dalaman & Emosi Yang Kuat

Namanya bukan baru di dalam kerja seni, bukan hanya disegani oleh para pelajar perfilemannya malah figura ini mempunyai misi dan visi tersendiri sebagai ahli akademik dan orang filem di Malaysia.

Dengan genre drama berat yang menjadi kegemarannya, Azhari Zain muncul dengan air tangan terbaru berjudul Petaka yang bakal ditayangkan di Astro First mulai 4 Februari ini. Petaka yang membariskan pelakon lama dan baru termasuk Azman Ahmad, Wan Maimunah, Nabila Huda, Jaja Iliyes, Coki dan PU Azman berkisar tentang isu kekeluargaan dan faktor hitam dari luar yang merosakkan keharmonian kemanusiaan.

Ikuti apa kata Azhari tentang pengalamannya dalam Petaka:

Q: Penggambaran filem ini dilakukan ketika negara masih dalam PKP, bagaimana pihak produksi mengawal perjalanan pembikinan Petaka?

A: Alhamdulillah, kami berjaya mempraktikkan SOP sepanjang penggambaran ketika negara di bawah PKP Ogos lalu. Kami mengambil pendekatan mengawal tiga komponen utama dalam SOP iaitu pertama, pengendalian penggambaran melibatkan krew, pelakon dan orang awam. Kita memastikan krew memakai pelitup muka, mengawal perjalanan penggambaran daripada bertembung dengan orang awam dan pelakon tambahan yang terlibat dalam Petaka.

Komponen kedua iaitu pengendalian makanan dan hygiene yang melibatkan makan minum dan keperluan asas dalam penggambaran, kami ikut saranan MKN (Majlis Keselamatan Negara) seperti menyediakan makanan dalam bungkusan (pack food). Secara tak langsung memudahkan juga pergerakan penggambaran yang membabitkan beberapa lokasi di Kedah.

Komponen ketiga ialah penjarakan sosial yang bukan sahaja dengan orang awam, malah dengan pelakon dan krew di sepanjang keberadaan mereka di lokasi. Kebersihan sangat diutamakan dan penggunaan hand sanitizer diwajibkan setiap masa agar melancarkan penggambaran dan semoga kita terlindung daripada virus berbahaya itu.

Q: Selain cabaran Covid-19, sebagai pengarah, apakah lagi kesukaran yang tuan hadapi sepanjang penggambaran Petaka?

A: Cabaran utama kami hadapi sepanjang penggambaran ini adalah pembentukan dan ledakan emosi yang cuba kita hasilkan di dalam filem ini terutama apabila melibatkan kolaborasi antara pelakon itu sendiri. Kami menggandingkan pelakon berpengalaman seperti Azman Ahmad, Wan Maimunah dan Nabila Huda dengan dibantu wajah baru seperti Jaja Iliyes, Coki dan PU Azman. Ini menimbulkan satu kolaborasi yang unik kerana kami perlu menghidupkan emosi bukan saja dari segi lakonan tetapi di dalam fikiran mereka.

Alhamdulillah idea ini diterima baik oleh para pelakon, malah Jaja dan Coki sangat bagus sambil dibantu Azman dan Nabila yang mencetus emosi yang kuat. Cabaran ini dapat kami layari sehabis baik hingga tercetus ledakan emosi yang diinginkan dan penonton akan dapat rasakan bila menontonnya nanti.

Q: Petaka sebuah filem heavy drama, apakah ini genre kegemaran tuan? Mengapa?

A: Petaka sebuah filem drama berat, ia bermain konflik yang bukan sahaja fizikal tetapi dalaman dan emosi yang kuat. Ia memang kegemaran saya dan pasukan, kerana Petaka bukan saja tentang perasaan pelakon dan karakter malah melibatkan kolaborasi dengan pergerakan kamera dan pencahayaan untuk mencetuskan emosi. Ini lebih visible dan dirasai oleh para penonton nanti. Saya berterimakasih kepada seluruh pasukan termasuk post production yang menghasilkan suntingan dan muzik skor yang menepati kehendak filem ini.

Saya suka heavy drama kerana saya yakin ia menjadi kegemaran oleh majoriti rakyat Malaysia untuk melihat bagaimana kesengsaraan orang lain dan bagaimana solusi dapat diambil, pengajaran dan hikmah yang dapat dipelajari.

Q: Petaka membariskan pelakon lama dan baru, bagaimana tuan adunkan terutama orang baru untuk tampak sebaris dengan mereka yang berpengalaman?

A: Petaka membariskan kolaborasi pelakon berpengalaman dan baru, jadi untuk mengimbangkan kerjasama ini, pelakon lama saya cipta ‘bonding’ (kerapatan) sebelum penggambaran bermula. Malah Wan Maimunah, kami terbangkan dari Kuala Terengganu sehari untuk bersama pelakon lain, keluar minum berkongsi cerita, mendengar kisah-kisah menarik beliau dan bercerita tentang diri sendiri yang akhirnya menjuruskan kepada filem ini.

Secara tak langsung mencipta ikatan, bonding antara mereka semakin terserlah. Rapat Wan Maimunah dengan Azman dan Jaja yang menjadi anak beranak dalam Petaka agak ketara. Alhamdulillah ini dapat mencernakan sebuah aliran emosi yang kuat antara ketiga-tiga mereka.

Bahkan untuk pelakon lain juga saya sediakan kelas latihan lakonan yang menggunakan teknik emosi dan pengukuhan karakter agar mereka dapat mendalami. Kami isikan nilai-nilai karakter yang menekankan kepada formula 3P – Personaliti, Profesion dan Private kepada pelakon baru seperti PU Azman dan Coki. Semua ini untuk mereka dapat menguasai watak dan situasi dan Alhamdulillah, mereka berjaya mempraktikkan ilmu-ilmu itu.

Q: Selain dikenali sebagai pengarah, tuan juga seorang pensyarah di fakulti berkaitan perfileman. Sedangkan ramai juga orang filem sedia ada tidak belajar tinggi untuk berjaya. Bagaimana tuan melihat situasi ini?

A: Selain mengarah filem, saya juga pensyarah di fakulti Teater dan Animasi UiTM. Kesempatan dorongan yang diberikan oleh pengurusan tertinggi UiTM untuk saya membimbing para pelajar untuk sama menggembleng kemahiran kami dalam menghasilkan karya dalam industri ini sangat dihargai dan diberi keutamaan. Ini memberikan ruang kepada kami bukan sahaja menyerlahkan minat malah membuka peluang kami mempelajari ilmu dan teknik baru bersama kolaborasi rakan-rakan dan bekas-bekas pelajar saya.

Ilmu ini satu lonjakan emosi dan kemampuan untuk saya pelajari pendekatan baru dalam penghasilan karya. Bagi mereka yang tak berkesempatan mempelajarinya, rasanya mereka berhak memiliki jalan sendiri untuk menimba ilmu sama ada dari universiti, kelas-kelas latihan atau rakaman di media sosial. Ia bukan saja membantu malah memberi inspirasi kepada kita untuk meningkatkan kemampuan dan kreativiti kita.

Q: Pada pengamatan tuan, sejauh mana pelajar filem di negara kita mampu untuk mengangkat industri seni dan filem Malaysia ke mata dunia?

A: Bagi mereka yang mempelajari apa saja ilmu perlu diberi peluang dan kesempatan mempraktikkan setiap yang mereka dalami, baik di bidang kejuruteraan, kedoktoran, senibina atau apa saja, sama juga pelajar filem. Selain menimba ilmu, mereka juga mahu menyerlahkan bakat dan pastinya apa yang kita lihat hasil tangan mereka karya-karya mereka mempunyai teknik baru yang belum dapat sebati dengan penerimaan awam tetapi yakinlah ini generasi baru, mungkin untuk lima tahun akan datang, baru diterima.

Jadi mereka harus diberi ruang dan peluang membuktikan kemampuan dan bakat diri mereka. Saya membawa pelajar dan bekas pelajar ke ruang industri nyata kerana saya yakin kolaborasi ini dapat menghasilkan sesuatu yang boleh membuka mata rakyat Malaysia, malah seluruh dunia. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button