Cerita ArtisHiburan

Rashidi Ishak Terima 300 ‘DM’ Peminat Wanita Dalam Sehari

Sejak mengumumkan penceraiannya dengan aktres Vanidah Imran, Rashidi Ishak mengakui dia sering kali menerima mesej daripada peminat wanita menerusi laman Instagramnya.

Menurut Rashidi, sekiranya mempunyai kelapangan waktu dia akan membalas mesej peminat yang sering memberikan sokongan kepadanya sepanjang menjalani tempoh sukar itu.

“Saya tidak nafikan sejak bercerai, banyak dapat ‘direct message’ (DM) daripada peminat di Instagram, sehari ada lebih kurang dalam 300 pesanan. Kesemuanya beri kata-kata sokongan dan saya akan cuba sedaya upaya untuk membalas komen-komen mereka.

“Kadang-kadang ada juga saya tak sempat baca sebab banyak sangat tapi saya memang sangat hargai mesej-mesej sokongan yang diberikan mereka malah mereka faham keadaan saya,” katanya kepada KopiPlanet.com

Rashidi ditemui pada majlis pratonton media filem Bu Kasih Suci yang berlangsung di MM2 Cineplexes, Mutiara Damansara hari ini.

Bu Kasih Suci yang diarahkan Jeany Amir akan mula menemui penonton di pawagam bermula 11 April ini. Selain Rashidi, filem itu turut dibintangi Remy Ishak, Wan Hanafi Su, Nadiya Nisaa, Nadia Brian, Dian P.Ramlee, Iedilputra, Mawar Rashid dan Tia Shah.

Dalam pada itu, Rashidi yang sebelum ini mendedahkan dirinya sudah bercerai dengan bekas isterinya itu pada 9 Ogos tahun lalu menerusi satu pengumuman di Instagram, hujung bulan lalu enggan lagi berbicara mengenainya.

“Kalau boleh saya tidak mahu lagi bercakap mengenai hal penceraian sebab saya dah ‘move on’ daripada fasa itu. Sekarang fokus saya adalah menyediakan yang terbaik untuk pendidikan anak-anak selain memastikan mereka berjaya dalam bidang akademik.

“Selain anak-anak, saya kini pun semakin fokus untuk jaga diri sendiri. Saya belum terfikir untuk mencari pengganti, lagipun saya tidak ramai kawan nak kenal wanita baharu itu belum lagi buat masa ini,” ujarnya.

Sementara itu, Rashidi, 46, turut meluahkan rasa hatinya yang tidak berapa gemar dengan panggilan ‘duda berhias’ dan ‘hot eligible bachelor’ yang diberikan kepadanya sejak bercerai memandangkan penampilannya yang kelihatan lebih kurus dan kemas daripada sebelum ini.

“Saya sebenarnya tidak berapa selesa orang panggil saya dengan panggilan sebegitu. Kalau nak tahu, nak dapat tubuh badan macam ini, saya mula menjalani kehidupan sihat dan aktif sejak dua tahun lalu.

“Setiap hari saya akan berlari lima kilometer selain hanya mengambil makanan berat sehari sekali sahaja untuk mengekalkan tubuh badan sebegini. Tidak dinafikan bekas isteri merupakan individu yang memberi motivasi kepada saya sejak dua tahun lalu untuk terus mengamalkan pemakanan dan gaya hidup sihat. Lagipun saya dah tua, inilah masa untuk saya lebih menjaga tubuh badan agar kekal bertenaga dan sihat,” ujarnya lagi.

Rashidi berkahwin dengan Vanidah pada 1 Oktober 2000 dan hasil perkongsian hidup mereka mempunyai dua anak, Mikhail Imran, 18, dan Maryam Rashika, 15. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button