
Risteena Banyak Berkawan, Sedang Cari Calon Suami Sesuai
Pelakon Risteena Munim mengakui dirinya masih lagi belum dimiliki mana-mana lelaki, meskipun sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga.
Ujarnya, dengan usianya kini sudah memasuki fasa untuk berkahwin membuatkan dia memikirkan lebih serius tentang perkara itu.
“Siapa tak mahu berkahwin, saya pun macam orang lain. Lagipun usia saya sekarang dah cecah 29 tahun, pastinya mendirikan rumah tangga ada terlintas di fikiran saya. Cuma, buat masa ini memang saya tiada sesiapa yang istimewa, kawan-kawan ramailah.
“Tidak dinafikan kini saya dalam fasa sedang mencari calon yang sesuai untuk dijadikan suami. Bagaimanapun, saya tak nak letakkan sasaran bila nak berkahwin. Kalau letak sasaran nanti tak tercapai, jadi kecewa pula nanti,” katanya.
Sementara itu, Risteena mendedahkan dia bakal melancarkan perniagaan produk kecantikan yang diusahakannya iaitu Risteena Rose Beauty pada bulan hadapan.
Menurutnya, perniagaan itu adalah sebagai persediaannya menjalani hari-hari mendatang sekiranya rezeki dalam bidang lakonan sudah makin berkurangan.
Dalam pada itu, meskipun namanya kelihatan sedikit tenggelam berbanding adiknya, Ruhainies, pelakon itu mendedahkan dia sebenarnya banyak terlibat dalam penggambaran filem, yang mana untuk tahun ini sahaja sebanyak tiga buah filem lakonannya bakal ditayangkan di pawagam.
Ketiga-tiga filem lakonan Risteena iaitu Hantu Wangan, Qhaliq dan Blok 404 akan ditayangkan dalam masa terdekat ini, sekali gus menampakkan semula comeback pelakon berusia 29 tahun itu dalam industri.
“Sebelum ini orang selalu tanya ke mana saya menghilang, sebenarnya saya tak hilang tetapi sibuk berlakon. Tahun ini sahaja tiga filem lakonan saya akan keluar dalam masa terdekat antara satu sama lain.
“Filem Hantu Wangan akan keluar dulu dan memaparkan lakonan saya sebagai doktor pskiatri. Agak sukar pada mulanya berlakon dalam kalangan pelawak memandangkan watak saya serius, namun perkara itu segera dapat diatasi dan saya enjoy berlakon dengan Achey, keserasian di antara kami tercipta secara semulajadi,” katanya.
Selain Risteena dan Achey, Hantu Wangan yang diarahkan Ahmad Idham itu turut dibintangi Cat Farish, Ruminah Sidek, Pian Bintang Mencari Bintang, Syanie Aida dan Marcell Angkong dan Nor Albaniah. – KopiPlanet.com