Cerita ArtisHiburan

Saleem Rancang Buat Kemunculan Semula Dengan Anggota Asal Iklim

Semakin murah rezeki, penyanyi Saleem bakal tampil dengan satu mini showcase pada 19 Ogos ini bertempat di The House G-Tower, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Menurut Saleem, 57, showcase itu dianjurkan bagi mengubati kerinduan peminat yang sering kali mahukan dirinya kembali beraksi di atas pentas.

“Setiap kali saya pergi mana-mana peminat sering bertanyakan bila nak buat persembahan lagi, sebagai penyanyi saya memang sentiasa terbuka nak menyanyi dan teruskan berkhidmat untuk peminat-peminat saya.

“Untuk showcase ini saya dah bersedia dengan segala persiapan untuk menghiburkan sebanyak 20 buah lagu popular Iklim. Saya nak showcase ini berjalan dalam keadaan santai yang mana semua peminat boleh sing along bersama-sama saya untuk setiap lagu yang dinyanyikan,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Saleem ditemui pada majlis sidang media Showcase Saleem Live in KL yang berlangsung di The House, G-Tower, Kuala Lumpur semalam.

Antara seleksi lagu yang bakal dipersembahkan Saleem menerusi showcase dua jam itu ialah seperti Suci Dalam Debu, Bukan Niatku, Juwita dan Blues Terengganu.

Showcase Salem Live in KL ini dibawakan khas oleh penganjur Triple Work Entertainment. Tiket berharga RM100 dilapor sudah terjual sebanyak 40 peratus sejak ia mula dijual pada awal Ogos lalu.

Selain Saleem, showcase itu akan diiringi barisan sessionist seperti Lola daripada kumpulan XPDC, Eddie Def Gab C, Lan Dragon Malaya dan Fuad.

Selain itu, Saleem turut menyatakan hasratnya yang ingin merakamkan single berunsur ketuhanan pula selepas ini.

“Saya memang pernah menyanyi lagu-lagu berunsur sedemikian sebab kalau kita teliti lirik lagu Suci Dalam Debu ia pun ke arah itu. Namun, kali ini kalau boleh saya nak nyanyi lagi lagu-lagu yang sepenuhnya berunsurkan ketuhanan dan kerohanian,” katanya.

Sementara itu, Saleem juga bercadang ingin menggabungkan semula anggota asal Iklim untuk satu konsert besar-besaran yang dijadualkan berlangsung pada November depan.

“Saya dan pihak pengurusan dalam perancangan untuk adakan sebuah konsert di Johor Bahru yang mana kami nak gabungkan semula anggota asal Iklim. Saya percaya dengan gabungan semula ini ia pasti dapat mengimbau kembali memori di awal penubuhan kumpulan kami,” ujarnya lagi.

Selain Saleem, Iklim yang ditubuhkan pada 1989 dianggotai oleh Mohalim (pemain bass), Umarul (pemain gitar), Kama (pemain drum) dan Huzali (pemain keyboard). – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button