
Saya Cuma Tersilap Memilih Kawan – Nadzmi Adhwa
Pelakon dan pengacara Nadzmi Adhwa mengakui tersilap memilih kawan menyebabkan dia terjebak dalam satu tangkapan berkaitan isu dadah baru-baru ini.
Nadzmi berkata, dia mengakui dirinya terperangkap dan dirinya cuma ditahan dalam membantu siasatan polis.
“Sebenarnya saya cuma ditahan kurang 24 jam. Setelah tujuh jam ditahan, saya akhirnya dibebaskan dengan jaminan polis setelah memberikan keterangan.
“Lagipun saya sendiri tak tahu kawan yang bersama saya ketika itu dalam pemerhatian polis,” ujarnya dalam satu sidang akhbar khas yang dilangsungkan pada petang tadi.
Menceritakan kejadian yang berlaku pada hari kejadian 3 November lalu, ketika itu dia bersama rakan dan adiknya sedang menunggu wakil daripada pihak pengurusan untuk mengambil barang.
Ujarnya, secara tiba-tiba ada beberapa anggota polis yang datang membuat serbuan di kereta tempat mereka menunggu dan terus menahan mereka bertiga.
“Apa yang boleh saya tegaskan, saya langsung tidak terlibat dan memohon diberi peluang kedua, terutamanya membabitkan kerjaya seni saya selepas ini.
“Selain itu, saya juga ingin mengambil kesempatan untuk memohon maaf atas kekhilafan dalam memilih kawan. Bagi saya, ini merupakan dugaan yang paling hebat buat diri saya dan keluarga,” luah pelakon berusia 25 tahun itu.
Sementara itu, pihak pengurusan Nadzmi, MindOrder Management memberitahu, pihaknya kerugian kira-kira RM80,000 atas insiden yang berlaku.
Pengarah Urusan MindOrder, Murshid Eunos berkata, selepas insiden berkenaan terdapat beberapa projek membabitkan pelakon berkenaan terpaksa dibatalkan.
“Tidak dinafikan kerjaya Nadzmi pada bulan November dan Disember 2017 agak terjejas akibat daripada kejadian yang berlaku.
“Bagaimanapun, kami sudah merangka beberapa perancangan dalam kerjaya Nadzmi, misalnya promosi untuk single baharunya, Cinta Yang Lain pada bulan hadapan,” jelasnya. – KopiPlanet.com