• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

Sekar Qaanita Nak Jadi Sehebat Idola Taylor Swift & Yuna

Penyanyi muda Indonesia, Sekar Qaanita menyatakan impiannya untuk menceburi bidang nyanyian akhirnya tercapai dengan pengenalan single pertamanya, Sembuhkan Rindu.

Menerusi lagu tersebut, Sekar, 17, berduet dengan ahli kumpulan Supernova, Angga yang juga merupakan komposer kepada lagu pengenalannya itu.

“Lagu Sembuhkan Rindu sudah mula dipasarkan di Indonesia pada 24 Ogos lalu dan kali ini tiba giliran saya adakan promosi di Malaysia pula.

“Saya ketengahkan lagu ini sebagai single pengenalan kerana ia agak berbeza dengan lagu rindu yang lain. Kalau lagu rindu sahaja mesti kena yang slow muziknya, tapi lagu ini tidak kerana ia berentak catchy dan ceria,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Sekar ditemui pada majlis pelancaran single Sembuhkan Rindu di ibu kota, baru-baru ini.

Mengeluarkan hanya sebanyak 1,000 unit CD untuk single tersebut, Sekar berkata ia merupakan strategi pemasaran daripada pihaknya selain untuk membantu Yayasan Kasih Anak Kanker Indonesia.

“Hanya 1,000 CD dikeluarkan dan sebahagian daripada hasil jualan akan disumbangkan kepada Yayasan Kasih Anak Kanker Indonesia. Saya berniat menyumbang kerana kebanyakan peminat saya di Instagram banyak meluahkan perasaan mereka yang sedang bertarung dengan sakit kanser, disebabkan itu saya memilih yayasan ini untuk membantu mereka,” katanya lagi.

Sementara itu ketika ditanya siapa penyanyi yang menjadi idolanya untuk berkecimpung dalam bidang seni, gadis manis ini pantas menjawab Taylor Swift dan Yuna merupakan antara selebriti yang sering diikutinya.

“Jika diberi kesempatan saya ingin sekali berduet dengan Yuna. Saya memang menggemari muzik yang dibawakannya dan kalau boleh mahu berjaya sepertinya yang kini semakin dikenali di Amerika Syarikat.

“Selain itu, saya juga cukup mengagumi penyanyi antarabangsa Taylor Swift. Saya suka muzik jenis country pun selepas mendengar muzik genre itu yang dinyanyikan Taylor sejak awal kemunculannya dulu,” jelasnya.

Sekar yang mula menyanyi sejak berusia tujuh tahun berkata sekiranya dia mempunyai kelapangan, dia suka berkaraoke bersama ahli keluarga dan teman-temannya.

Ketika ditebak mengenai teman lelaki, Sekar berkata dia masih belum berpunya kerana ingin memberi fokus pada bidang nyanyian terlebih dahulu.

“Saya pernah bercinta sebelum ini tapi putus disebabkan saya mahu memberikan fokus dalam bidang seni terlebih dahulu. Cinta tolak tepi dululah,” ujarnya tertawa. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend