
Sempena Kemunculan Semula, Baggio Pertaruhkan Single Laduni Cinta
Vokalis kumpulan Damasutra, Baggio atau nama sebenarnya, Bahagia Daharun tampil dengan semangat baharu tahun 2020 dengan memperkenalkan single terbaharu berjudul Laduni Cinta.
Lagu berkonsepkan pop rock ciptaan komposer Joe Slash manakala liriknya oleh S Amin Shahab itu merupakan hadiah kemunculan semula Baggio buat peminat yang sentiasa menyokong kerjaya seninya.
“Lagu ini sangat bermakna buat saya kerana tahun ini memang saya ingin hadiahkan sesuatu yang baharu dan memberi kepada peminat selepas hampir 30 tahun saya menghambakan diri dalam bidang seni.
“Laduni Cinta turut mendapat khidmat daripada Adi kumpulan 6ixthsense daripada segi susunan lagu serta Taja daripada kumpulan Meet Uncle Hussein sebagai jurutera bunyi. Single ini turut mendapat sentuhan daripada pemuzik undangan iaitu Ujang Exists (drum), Robot (gitar bass) dan Ritz Metalasia (gitar),” katanya.
Laduni Cinta kini sudah boleh didapati menerusi semua aplikasi penstriman muzik dan muzik videonya juga sudah dilancarkan pada 9 Januari lalu menerusi saluran Youtube Astakona Entertainment. – KopiPlanet.com