
Setelah Putus Cinta, Orlando Bloom & Katy Perry Kembali Bersama
Sejak putus cinta kira-kira 11 bulan yang lalu, pelakon Orlando Bloom dan Katy Perry masih lagi menjalinkan hubungan yang baik sehingga sekarang. Malah, mereka sering dilihat menghabiskan masa bersama seperti menonton konsert atau keluar bersama rakan-rakan yang lain.
Oleh itu, tidak menghairankan apabila ada khabar yang mengatakan mereka sudah kembali bercinta secara senyap-senyap, seperti yang disiarkan The Sun.
“Mereka sudah kembali bersama semula dan Katy ingin memperbaiki hubungan mereka berdua. Apatah lagi dia sukar untuk melupakan Orlando dan sangat menyayanginya.
“Buat masa ini, hubungan percintaan mereka lebih bersifat peribadi. Secara kesimpulannya, apa yang boleh dikatakan mereka sudah kembali bercinta semula,” jelas satu sumber terdekat pasangan berkenaan.
Ternyata apa yang didedahkan oleh sumber berkenaan tidak lama setelah kedua-duanya dilihat bercuti bersama-sama ke Maldives pada bulan lalu.
Selain itu, menerusi laman sosial Instagram mereka, masing-masing dilihat sering like dan memberikan komen antara satu sama lain.
Sekiranya berita ini benar, ia tentu suatu perkara yang cukup menggembirakan, terutama sekali buat peminat-peminat Katy Perry. – KopiPlanet.com



