
Shenty Feliziana Nikah Pelakon Indonesia 13 April Ini
Percintaan lokasi di antara pelakon dan pengacara Shenty Feliziana dengan tunangnya, pelakon dari Indonesia, Reuben Elishama akhirnya bakal dimeterai dengan ikatan perkahwinan pada 13 April depan.
Aktres kelahiran Singapura itu sepakat memilih tarikh tersebut bagi memulakan kehidupan baharunya bersama Reuben yang sudah dikenalinya sejak enam bulan lalu.
Majlis pernikahan pasangan itu akan diadakan di kediaman keluarga Shenty di Singapura dengan berkonsepkan melayu tradisional.
Manakala majlis di sebelah pihak lelaki dijangka berlangsung di Bali, Indonesia pada hujung bulan April.
Menurut Shenty, detik awal perkenalan mereka bermula ketika di set penggambaran drama bersiri Dosa pada Julai tahun lalu.
Walaupun Reuben, 40, merupakan seorang duda anak satu, namun ia tidak menjadi masalah buat Shenty memandangkan ibunya turut merestui hubungannya dengan aktor tersebut.
“Kami selesa bekerjasama dan mula rapat dan semakin serius sejak drama Dosa.
“Saya juga tidak kisah dengan statusnya yang merupakan duda anak satu. Apa yang penting ibu merestui hubungan kami.
“Keluarga Reuben telah menghantar rombongan merisik dan kami juga mengikat tali pertunangan pada 25 November tahun lalu,” katanya ketika ditemui pada Malam Gala Dosa di GSC Pavilion, Kuala Lumpur semalam.
Menurut Shenty atau nama sebenaranya, Shenty Feliziana Sudirman, 29, antara kriteria yang membuatkannya jatuh hati terhadap tunangnya itu ialah keikhlasan yang ditunjukkan Reuben sepanjang mereka berkawan.
“Saya dapat merasakan keikhlasannya dalam hubungan kami. Dia juga melayan keluarganya dengan baik dan sangat menghormati kaum wanita,” katanya. – KopiPlanet.com
Kredit foto: Instagram Shenty Feliziana