Cerita ArtisHiburan

Sherry Alhadad Mahu Anjur Bengkel Percuma Buat Peminat Wanita

Beberapa hari menjelang tahun baharu 2020, pastinya setiap daripada kita sudah memasang azam dan impian untuk direalisasikan untuk tahun hadapan. Hal ini tidak terkecuali buat pelakon dan pengacara popular, Sherry Alhadad.

Menurut Sherry atau nama sebenarnya, Sharifah Mariam Binti Syed Abdullah Al Hadad, 35, dia mempunyai satu azam yang sudah lama dipendam sejak menceburi bidang seni lebih 13 tahun lalu iaitu ingin melibatkan diri dalam aktiviti kebajikan buat peminatnya.

“Saya sebenarnya dah lama simpan azam untuk lebih kerap turun padang untuk aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan sebab saya ingin memberi kembali kepada mereka di luar sana.

“Saya akui saya bukan orang senang tetapi saya akan cuba membantu dengan menganjurkan bengkel bina keyakinan sebab saya dapat banyak DM (direct message) daripada pengikut di Instagram meminta pendapat bagaimana saya bina keyakinan diri sedangkan ada yang menghina dan mengejek saiz tubuh badan saya yang besar.

“InsyaAllah tahun depan jika diberikan rezeki, saya akan turun padang dan anjurkan bengkel ini secara percuma untuk peminat saya, kalau boleh saya nak peminat wanita sahaja. Cumanya untuk merealisasikan perkara ini saya perlukan pasukan yang besar agar semuanya berjalan lancar dan tersusun seperti dirancang,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis sidang media program Dansa Dan Sing yang berlangsung di The Starling Mall, Damansara baru-baru ini.

Sementara itu, ketika ditanya siapakah hos yang dia mahu bergandingan selepas ini selain daripada gandingan serasinya dengan Alif Satar, Sherry meletakkan tiga nama idolanya iaitu Salih Yaacob, Adibah Noor dan Datuk Aznil Nawawi.

“Ada tiga nama pengacara yang saya mahu bergandingan bersama yang sehingga kini saya masih tidak dapat lagi iaitu Salih Yaacob, Adibah Noor dan Datuk Aznil Nawawi. Saya amat mengagumi bakat mereka malah ketiga-ketiga individu ini merupakan antara penyebab utama kenapa saya nak jadi pengacara sejak dari kecil lagi. Harap satu hari nanti saya dapat bekerjasama dengan nama-nama besar ini,” ujarnya.

Sherry sementara itu bakal tampil di kerusi hos sebagai pengacara program realiti terbaharu terbitan Astro Ria, Dansa Dan Sing yang akan bersiaran pada setiap Ahad jam 9 malam mulai 5 Januari ini.

Ia menampilkan persembahan 11 selebriti tempatan seperti Arja Lee, Atilia Haron, Yasmin Hani, Raja Syahiran, Harris Baba, Nik Qistina, Wani Kayrie, Shiha Zikir, Chubb-E, Sophia Liana dan Waris yang perlu menari serta menyanyi mengikut rentak lagu yang ditugaskan kepada mereka pada setiap minggu. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button