
Siti Nordiana Dedah Cerita Pernah Dilamar Jadi Isteri Kedua
Penyanyi Siti Nordiana mendedahkan bahawa sebelum ini dia pernah dilamar seorang individu untuk menjadi isteri keduanya.
Bagaimanapun, Siti Nordiana atau lebih mesra dipanggil Nana berkata, dia mengambil pendekatan enggan melayan cinta daripada suami orang.
“Pernahlah juga ada orang ajak kahwin, tetapi saya terpaksa tolak sebab dia itu suami orang. Lagipun, saya amat memahami perasaan wanita dan nak elakkan daripada bercinta dengan suami orang. Ada seseorang bagi tips, kalau suami orang dah mula nak main cinta dengan kita, jangan melayan kalau mereka nampak berlebih-lebih.
“Kalau boleh saya tak nak cakap sangat tentang perkara ini. Sebab takut salah cakap, orang yang mengalami situasi itu terasa pula dengan kenyataan saya,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pelancaran muzik video dan single terbaharunya berjudul Hatiku Milikmu di Flora Terrace, Kuala Lumpur hari ini.
Enggan melayan cinta suami orang, Nana sebaliknya bersikap terbuka sekiranya dia ditakdirkan bertemu jodoh dengan jejaka yang lebih muda daripadanya.
Nana sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Allahyarham Mohd. Faizal Yusup dan hasil perkahwinan mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Mohd. Nakhaie Rayyan yang kini berusia 10 tahun.
“Saya tidak menolak sekiranya selepas ini bertemu jodoh dengan lelaki yang muda daripada saya. Kalau boleh saya nak cari bakal suami yang boleh membimbing saya ke arah agama, seorang yang baik hati dan tidak panas baran,” katanya lagi.
Sementara itu, dua pelakon popular yang semakin meningkat naik, Fikri Ibrahim dan Alvin Chong dipilih sendiri oleh Nana untuk menghiasi muzik video Hatiku Milikmu.
“Saya sebenarnya tanya pada peminat di laman Instagram, selebriti mana yang mereka nak tengok digandingkan dengan saya dalam muzik video ini dan rata-rata mahukan Fikri dan Alvin.
“Secara kebetulan pula kedua-duanya kawan saya, jadi agak mudah untuk kami bekerjasama dalam muzik video ini,” jelasnya.
Muzik video Hatiku Milikmu yang menjalani penggambaran di Krabi, Thailand dan Kuala Lumpur itu dihasilkan oleh produksi dari Romania, Storytellrs.
Hatiku Milikmu merupakan lagu ciptaan Nana sementara lirik oleh Shana ini diterbitkan oleh SND Soul Entertainment dengan kerjasama Seventeen Eleven Music. – KopiPlanet.com



