Tajuk: Surf This Love: Gelora Juara
Tarikh Tayangan: 22 Februari 2018
Durasi: 1 jam 43 minit
Genre: Drama / Komedi
Pengarah: Wan Hafiz
Pelakon: Shukri Yahaya, Cristina Suzanne, Pekin Ibrahim, Josiah Hogan, Ardell Aryana, Mustaqim Bahadon dan Dottie.
Klasifikasi: P13
Kali terakhir sinema Malaysia dilayangkan dengan naskhah berunsurkan kesukanan adalah filem yang mencipta fenomena pada 2016, Ola Bola. Tahun ini, filem Surf This Love: Gelora Juara pula tampil bagi mengangkat tema sukan luncur air yang jarang-jarang sekali dipertontonkan di layar perak.
Filem yang diarahkan Wan Mohd Hafiz Wan Hussain ini menampilkan lakonan hebat Shukri Yahaya sebagai seorang lelaki yang cukup menggemari sukan luncur air, Billy yang ingin mengikut jejak langkah abangnya, Bobby yang cukup terkenal dalam persada sukan antarabangsa tersebut.
Sesuatu yang berbeza untuk Shukri apabila menerusi filem ini dia membawakan watak yang lari daripada kebiasaan peranan Mat Macho yang sering kali dipegangnya.
Menerusi Surf This Love: Gelora Jiwa ini, Shukri berjaya membawakan wataknya dengan cukup baik sebagai seorang pemuda gila-gila yang cuba untuk membuktikan dirinya mampu pergi lebih jauh dalam minatnya terhadap sukan luncur air.
Billy bekerja dengan kakaknya, Siti (Dottie) sebagai pemandu pelancong di Pulau Tioman, Terengganu. Tinggal di kepulauan itu membuatkan minat Billy terhadap sukan luncur air semakin bercambah setiap hari.
Suatu hari, Mia (Cristina Suzanne) datang ke pulau peranginan tersebut bagi mencari bahan untuk dimuat naik dalam laman blognya.
Lia (Ardell Aryana) yang merupakan rakan kolej Mia kini membantu di kafe abangnya, Jimmy John (Pekin Ibrahim). Lia memperkenalkan Mia kepada Billy.
Billy jatuh cinta kepada Mia kerana gadis itu tidak memperlekehkan cita-citanya untuk menjadi surfer tanpa mengetahui yang gadis idamannya itu sudah pun mempunyai teman lelaki iaitu idola Billy sendiri, Mike Malaya (Josiah Hogan).
Konflik bermula apabila Billy cuba meminta tunjuk ajar daripada rakan baik abangnya iaitu Jimmy John agar dirinya menjadi hebat setanding Jimmy yang turut termasuk dalam Trio Malaya, jaguh-jaguh sukan luncur air yang berasal dari Pulau Tioman.
Selain Jimmy, Trio Malaya turut dianggotai Bobby (Mustaqim Bahadon), arwah abang Billy dan Mike. Kemahiran mereka mencetuskan fenomena malah turut bergelar juara dunia di kebanyakan kejohanan antarabangsa.
Mike yang kebetulan bercuti daripada kejohanan kembali ke kampung halamannya untuk bercuti selain bertemu teman wanitanya, Mia di situ.
Sebenarnya, Mike mempunyai rahsia besar berkaitan kematian abang Billy. Namun, disebabkan egonya, dia enggan mengakui kesalahannya itu sehingga mencetuskan perbalahan di antara dirinya dengan Jimmy.
Billy yang teruja dengan kepulangan idolanya kemudian cuba meminta pertolongan daripada Mike untuk mengajarnya dalam bidang sukan luncur air. Namun, permintaan Billy itu hanya diperkotak-katikkan oleh Mike yang terlalu sombong dan bongkak dengan gelaran juara dunia yang dimilikinya.
Dapatkah Billy mengejar cita-citanya untuk bergelar adiwira dalam bidang sukan luncur air dan mampukah dia menggapai cinta dengan gadis idamannya, Mia yang juga merupakan teman wanita kepada idolanya sendiri? Semuanya terjawab apabila anda menonton filem Surf This Love: Gelora Jiwa yang bakal ditayangkan bermula 22 Februari ini.
Walaupun ini filem pertama terbitan GSR Sdn. Bhd., namun ia dihasilkan dengan cukup baik. Malah, jalan ceritanya juga cukup padat dengan diselitkan beberapa dialog kelakar yang mampu memecahkan gelak tawa penonton.
Keserasian yang tercipta di antara watak Billy dan Siti sebagai adik-beradik juga berjaya menghiburkan peminat dengan perbualan bersahaja, selain dialog yang dipertuturkan watak Jimmy lakonan Pekin juga mampu menambat hila tawa penonton dengan kegilaannya bermain kata-kata dengan alam semula jadi.
Secara keseluruhannya, filem ini menarik untuk dijadikan tontonan buat seisi keluarga kerana jalan ceritanya yang mantap dan sinematografi yang cantik dengan pemandangan segar pantai dan laut yang melatari hampir kesemua babak dalam filem ini. – KopiPlanet.com





