• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

Adi Priyo Tidak Pernah Terfikir Tinggalkan 6ixth Sense

Walaupun terlibat dalam beberapa projek nyanyian solo, vokalis kumpulan 6ixth Sense, Adi Priyo, 36, menegaskan dia tidak akan sesekali meninggalkan kumpulan yang telah banyak berjasa dalam menggembangkan kerjaya seninya.

Menurut Adi, dia sama sekali tidak pernah terfikir untuk berbuat demikian sementelah sudah lebih 13 tahun mengabdikan diri bersama kumpulan yang cukup popular dengan lagu Tak Bisa Memilih dan Tanpa ini.

“Tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk tinggalkan 6ixth Sense. Biarpun tidak dinafikan bergerak solo lebih banyak bayarannya tapi bagi saya, kerana 6ixth Sense nama saya dikenali.

“Jadi tidak timbul isu perancangan untuk tinggalkan Sixth Sense sebaliknya kami menghormati projek solo masing-masing dan keutamaan tetap pada kumpulan ini,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Adi ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya, Aku Cinta Mati yang berlangsung di Redbox The Gardens Mall, Kuala Lumpur semalam.

Menurut Adi, jika 6ixth Sense lebih banyak membawakan lagu berunsur patah hati tetapi menerusi projek solonya, Adi cuba untuk membawa lagu-lagu yang memberi mesej positif dan sejagat kepada semua pendengar.

“Kalau dengar lagu Aku Cinta Mati ini dia ada feel lagu Indonesia sedikit.

“Sebelum ini memang saya dikenali bawa lagu jenis patah hati, putus cinta semua itu. Tapi untuk projek solo, saya cuba bawa lagu yang membawa mesej positif.

“Saya cuba terapkan menerusi bait-bait lirik positif sebab jika diperhatikan sekarang, ramai orang yang tidak berfikiran positif jadi saya cuba nak ‘educate’ dengan membawa lagu sebegini yang beri mesej baik kepada semua pendengar,” ujarnya lagi.

Aku Cinta Mati merupakan hasil ciptaan sepenuhnya komposer Garuda dan ia boleh dimuat turun menerusi penstriman muzik digital seperti Joox, Spotify dan iTunes. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend