• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

Takaaki Terry Artis Jepun Pertama Nyanyi Lagu Melayu

Instafamous dari Osaka, Jepun, Takaaki Terry sangat meminati lagu berbahasa Melayu dan pernah menjadi perhatian di media sosial kerana kebolehannya menyanyi sambil bermain gitar.

Menurut Takaaki, 24, dia mula menyukai lagu berbahasa Melayu ketika berkunjung ke Malaysia pada bulan April tahun lepas.

“Saya mula jatuh hati dengan lagu Melayu ketika bercuti ke Malaysia dan lagu yang saya suka Assalamualaikum (Faizal Tahir).

“Malah saya juga suka menonton animasi Upin Ipin dan drama Nur untuk mempelajari dan memperluaskan bahasa Melayu saya,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Takaaki ditemui pada majlis pelancaran lagu Konnichiwa Dunia yang berlangsung di Warner Music, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Sementara itu, Konnichiwa Dunia adalah idea asal daripada Takaaki sendiri manakala liriknya diolah oleh Faizal Tahir bersama Mike Chan, Romeo dan Adib Hussin.

Walaupun mempunyai kerjaya yang stabil sebagai pegawai pemasaran di Osaka, namun demi menerusikan minatnya dalam bidang nyanyian, Takaaki nekad untuk berhenti kerja.

“Sebenarnya saya bekerja di Osaka bahagian pemasaran di sebuah syarikat kecil sebelum datang ke Malaysia.

“Selepas itu, saya berhenti kerja dan mulakan kehidupan baru di sini sebagai penyanyi,” ujarnya.

Bagi Takaaki, dia sangat beruntung memiliki keluarga yang sangat memahami dan sentiasa menyokong kariernya dari belakang dan memberi keizinan untuknya berhijrah ke Malaysia.

“Saya mendapat restu daripada kedua ibu bapa dan ahli keluarga yang lain dan mereka tidak menghalang impian saya untuk bergelar seorang penyanyi.

“Oleh kerana saya anak bongsu, saya perlu berdikari dan sentiasa membahagiakan mereka dengan kejayaan dalam bidang yang diceburi saya,” katanya. – KopiPlanet.com

Artikel : Syafiqah dan Nur Fatin
Pelajar praktikal : UiTM Puncak Perdana

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend