• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

“Tiada Masalah Nak Poligami Kalau Mampu” – Ashraf Muslim

Pelakon Ashraf Muslim mengatakan tidak salah untuk seseorang lelaki untuk mengamalkan poligami sekiranya dia mampu untuk menggemudi dan menjadi imam yang baik kepada isteri-isterinya.

Namun sebagai seorang yang berstatus selebriti, Ashraf berkata seseorang artis itu perlulah berterus-terang mengenai status perkahwinan mereka supaya ia tidak menjadi fitnah di kemudian hari.

“Bagi saya tiada masalah untuk seseorang itu merahsiakan perkahwinan mereka tapi kena ingat kita sebagai seorang selebriti, ramai orang di luar sana nak tahu pasal isteri dan keluarga kita.

“Kita (selebriti) perlu beritahu kepada masyarakat (status perkahwinan) supaya tidak timbul fitnah di masa akan datang,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika diminta mengulas mengenai isu masalah rumah tangga melibatkan pelakon Amar Asyraf yang menjadi kontroversi baru-baru ini.

Ashraf ditemui pada acara Fun Run anjuran Megaklinik Zahran yang diadakan di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, Selangor, semalam.

Amar mengaku mempunyai isteri kedua, Vivy Jeffry selepas bekas teman wanitanya yang sepatutnya menjadi isteri ketiganya, Eilika Azman mendedahkan perkara sebenar menerusi Instagram miliknya baru-baru ini.

Eilika mendedahkan dia mempunyai hubungan sulit dengan Amar sejak September tahun lalu dan mereka mempunyai perancangan untuk berkahwin sebelum ianya batal kerana Eilika baharu mengetahui Amar turut mempunyai isteri kedua yang sudah dinikahinya sejak 2017. Amar mempunyai seorang anak hasil perkongsian hidup dengan Vivy.

Amar sebelum ini tidak pernah mendedahkan status perkahwinan keduanya sebaliknya peminat hanya mengetahui mengenai perkahwinan pertamanya dengan Arna Salleh pada 2013 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Mohamad Taufik dan Ammara Dian.

Ashraf turut menitipkan pesanan agar kesemua lelaki yang ingin mengamalkan poligami agar sentiasa bijak dan bersabar dalam mengendalikan kehidupan berumah tangga dengan isteri-isteri.

“Nabi pun tak halang (poligami). Kena banyak bersabar bila dah kahwin dua. Kena bijak uruskan rumah tangga. Itu tipsnya kalau nak berjaya dalam hidup poligami.

“Tiada masalah untuk berkahwin lebih dari satu kalau kita mampu. Mampu jaga isteri-isteri dan anak-anak. Mampu mengalas amanah yang Allah berikan, itu yang penting.

“Kalau rasa tidak mampu, janganlah (hidup poligami). Mampu ni dari banyak segi seperti masa, wang ringgit, kasih sayang dan segala-galanya,” ujarnya lagi.

Ashraf berkahwin dengan isteri pertama, Noor Dayana Lokman pada 30 Ogos 2011 di Makkah dan kemudiannya mendirikan rumah tangga dengan Wan Sakinah Ahmad Saburi pada 7 Julai 2013 di selatan Thailand. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend