Cerita ArtisHiburan

Titik Beratkan Kesihatan, Sham Visa Nak Tengok Anak-Anak Membesar

Penyanyi Sham Visa atau nama sebenarya, Rohisham Hashim mendedahkan sejak tiga tahun lalu dia sudah berhenti daripada menjamah sebarang makanan ringan bagi menjaga kesihatannya.

Menurutnya, kesedaran itu timbul kerana ingin melihat anak-anaknya membesar sebelum dia menutup mata.

“Saya sebenarnya ada satu misi yang mana saya nak badan saya fit sebelum mencecah usia 50 tahun, tahun ini saya dah 49 tahun jadinya saya hanya ada satu tahun untuk capai impian saya itu.

“Kesedaran untuk menjaga kesihatan timbul sejak tiga tahun lalu bila saya fikir sampai bila nak makan jajan-jajan semua ini lagi sebab kalau boleh saya nak lihat anak-anak membesar dan berkahwin, kalau boleh saya nak mati dalam keadaan tubuh badan saya sihat.

“Saya tidak sempurna dan jauh lagi nak beri nasihat berkaitan bidang kesihatan tapi saya perlahan-lahan menuju ke arah itu (gaya hidup sihat),” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pengumuman Top 5 pencalonan akhir Anugerah MeleTOP Era 2020 (AME2020) yang berlangsung di Envi Skydining, Menara TA One, Jalan P. Ramlee, Kuala Lumpur semalam.

Menerusi AME2020, nama Sham tercalon menerusi kategori Fesyen MeleTOP bersaing dengan empat finalis lain iaitu Mira Filzah, Syafiq Kyle, Alif Satar dan Fazura.

Tidak menyangkakan akan tercalon dalam kategori itu, Sham bagaimanapun melahirkan ucapan penghargaan buat peminat yang tidak henti-henti menyokong kerjaya seninya sejak dari dahulu lagi.

“Memang saya tidak sangka akan tercalon dalam kategori Fesyen MeleTOP apatah lagi di kala usia mencecah 49 tahun. Tapi Alhamdulillah ini semua berkat sokongan peminat. Saya juga ingin berterima kasih kepada pihak pengurusan dan pasukan yang menguruskan imej saya sepanjang saya terlibat dalam program GegarVaganza 6 tahun lalu.

“Kalau saya buat sendiri, memang tidak jadilah fesyen Sham Visa seperti yang anda lihat sekarang ini. Ini semua berkat pertolongan mereka-mereka yang berada di belakang saya ini.

“Saya tidaklah berapa mahir mengenai fesyen tapi saya ada juga buat rujukan dengan melihat gaya dan fesyen-fesyen terkini di Internet serta di laman sosial Instagram bagi memperbaiki lagi fesyen dan gaya harian saya,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan lain, Sham bakal muncul dengan drama lakonannya, Family Spy yang akan ditayangkan di saluran Astro Ceria (611) bermula 11 Mac ini. Selain Sham, naskhah itu turut dibintangi Rozita Che Wan, Alif Satar, Nynna Harizal dan Datin Maria Farida. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button