
Uqasha Dan Ben Amir Akui Serasi, Dalam Fasa Kenal Hati Budi
Pelakon cantik Uqasha Senrose mengakui bahawa Ben Amir adalah merupakan lelaki yang paling rapat dengan dirinya pada ketika ini.
Masih terlalu awal untuk melabelkan mereka sebagai pasangan bercinta, sebaliknya aktres itu mengakui dia sedang dalam fasa mengenali hati budi Ben.
“Sebenarnya saya dah lama kenal dengan Ben sejak lima tahun lalu. Cuma baru-baru ini sahaja kami mulai rapat apabila kami bertembung ketika saya menjemput Nelydia pulang dari penggambaran.
“Dari situ kami mula bertegur dan sehingga sekarang kami agak rapat. Apa yang boleh saya katakan, saya memang senang serasi dengannya. Kami boleh berborak tentang apa sahaja perkara, malah saya juga boleh jadi diri sendiri ketika keluar dengan dia.
“Ben tak kisah kalau saya tak mekap atau melaram lebih-lebih ketika keluar dengan dia dan perkara itu membuatkan saya sangat selesa berkawan dengannya,” katanya kepada KopiPlanet.com.
Uqasha ditemui pada malam gala filem Hantu Kak Limah di MM2 Cineplexes, Damansara semalam. Majlis itu turut dihadiri Ben yang datang memberikan sokongan terhadap lakonan Uqasha menerusi filem arahan Mamat Khalid itu.
Sementara itu, Ben ketika ditemui berkata, dia selesa mendampingi aktres tersebut memandangkan sebelum ini mereka pernah bekerjasama menerusi satu nakshah drama.
Akui mula rapat sejak awal bulan ini, Ben bagaimanapun enggan terlalu gopoh berbicara soal jodoh meskipun mengakui dia cukup menyenangi personaliti diri Uqasha.
“Kami senang serasi tapi masih terlalu awal kalau nak kata kami sedang bercinta. Saya memang ikhlas berkawan dengan Uqasha dan tiada sebarang agenda lain seperti mahu menumpang populariti dia atau apa-apa yang lain.
“Bagi saya bab jodoh kita tak perlu terlalu gopoh dan kalau situasi mengizinkan, saya akan bawa Uqasha berjumpa ahli keluarga saya di kemudian hari,” ujar Ben.
Berkawan rapat dengan selebriti yang sering terpalit dengan isu kontroversi, Ben walau bagaimanapun mengambil pendekatan enggan meletakkan hukum terhadap masa lampau Uqasha.
“Benda-benda yang dah lepas, saya tak nak hukum dia. Kita pun tidak boleh percaya pada satu pihak sahaja, sebab apa yang keluar di media pun tidak seratus peratus benar.
“Kita kena kenal seseorang itu dulu baru kita tahu mereka orang yang macam mana sebenarnya,” kata Ben menutup perbualan. – KopiPlanet.com
Kredit foto: Instagram Ben Amir