Cerita ArtisHiburan

Zarul Husin Teruja Peminat Muda Semakin Mengenali Dirinya

Dahulu dikenali sebagai Zarul Umbrella, penyanyi Zarul Hsuin melahirkan perasaan gembiranya apabila penjenamaan semula dirinya sebagai Zarul Husin kini semakin diterima baik peminatnya.

Bukan mahu menidakkan nama kumpulan yang mengangkat namanya dalam industri, sebaliknya Zarul mahu penjenamaan itu agar dapat disesuaikan dengan kerjayanya kini yang turut dikenali sebagai pelakon.

“Sekarang ramai sudah kenal saya sebagai Zarul Husin lebih-lebih lagi di kalangan peminat muda. Mereka pun tak tahu saya sebelum ini dikenali sebagai Zarul Umbrella.

“Kiranya nama Zarul Husin sebagai penjenamaan semula saya dalam industri. Lagipun sekarang saya dah berlakon, adalah lebih baik nama Zarul Husin digunakan untuk tujuan itu,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya, Remuk di Vilej Damansara, Damansara Perdana semalam.

Lagu Remuk merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Aepul Roza.

Menurut Zarul sebelum menerima lagu Remuk, dia terpaksa menolak dua lagi lagu ciptaan komposer lain yang dirasakan tidak kena dengan jiwanya.

“Saya lebih senang menyanyikan lagu berentak balada dan dua lagu sebelum Remuk ini lebih ke arah pop moden.

“Mungkin sekarang saya tolak lagu-lagu genre macam ini tapi mana tahu di masa akan datang kalau dapat karya sebegitu yang kena dengan jiwa saya, saya rasa tak salah mencuba.

“Tapi buat masa sekarang saya lebih senang bawa lagu-lagu bergenre balada dulu,” katanya.

Sementara itu, Zarul turut mendedahkan tajuk asal lagu Remuk yang diberikan Aepul adalah Pemutar Bicara.

Namun, Zarul yang inginkan satu tajuk yang ringkas dia telah meminta tajuk itu diubah kepada Remuk.

“Tajuk asal lagu ini Pemutar Bicara sebenarnya tapi disebabkan saya nak tajuk itu sesuatu yang ringkas, saya dengar balik lirik dan selepas itu minta keizinan dari Aepul untuk tukarnya kepada Remuk.

“Lagu ini berkisarkan tentang sebuah kisah cinta sedih yang mana hati kekasih dipersiakan insan tersayang.

“Saya hanya ambil masa selama tiga jam untuk rekodkan lagu ini sebaik sahaja habis menjalani penggambaran drama bersiri Syurga Yang Kedua baru-baru ini,” katanya.

Jika dilihat pada trend penyanyi masa kini, mereka akan mengeluarkan muzik video seiring dengan single yang dikeluarkan namun Zarul mempunyai sebab tersendiri kenapa muzik videonya masih belum disiapkan.

“Muzik video masih lagi belum buat disebabkan terikat dengan komitmen kerja lain. Terdapat kekangan masa, namun sebaik selesai semua, InsyaAllah akan rakam muzik video secepat mungkin,” jelasnya.

Zarul kini sibuk dengan tugasannya sebagai salah seorang mentor menerusi program Mentor Otai. Selain Zarul, tiga lagi mentor yang terlibat ialah Misha Omar, Siti Sarah dan Tam Spider. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
2
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button