• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

Zul Huzaimy Nazar Bawa Ibu Tunai Haji Jika Menang All Stars Buka Panggung

Pelakon Zul Huzaimy Marzuki, 41, bernazar untuk membawa ibunya mengerjakan ibadah haji tahun hadapan sekiranya dia memperoleh rezeki bergelar juara program All Stars Buka Panggung.

Pertandingan akhir program itu akan berlangsung minggu hadapan yang mana bakal memperlihatkan kehandalan empat finalis iaitu Zul Huzaimy, Rita Rudaini, Norkhiriah dan Datuk Aaron Aziz menguasai pentas dengan dialog spontan tanpa menggunakan skrip.

Terdahulu, Datuk Rosyam Nor telah diumumkan tersingkir pada peringkat separuh akhir yang berlangsung di Royal Theatre Shah Alam, semalam.

“Saya memang dah bernazar jika diberikan rezeki untuk bergelar juara, saya nak bawa ibu mengerjakan haji tahun hadapan.

“Memang itu niat saya ketika mula-mula bersetuju untuk sertai program ini.

“Sebelum ini saya dah bawa ibu mengerjakan umrah beberapa tahun lalu dan dia sering kali kata rindu nak lagi ke sana, InsyaAllah kalau ada rezeki saya jadi juara All Stars Buka Panggung, itu perkara pertama yang akan saya buat dulu dengan wang kemenangan,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis sidang media sebaik minggu separuh akhir iu berakhir semalam.

Menjuarai minggu separuh akhir dengan nilai undian sebanyak 23.2 peratus, Zul tidak menafikan latar belakangnya sebagai graduan teater Aswara menjadikannya seorang yang boleh beraksi spontan di atas pentas tanpa menggunakan skrip.

“Saya merupakan alumni Aswara dan kini juga merupakan salah seorang pengajar di sana. Kalau saya tidak boleh beraksi spontan, malulah saya dengan junior-junior dan anak murid saya sendiri,” katanya secara berseloroh.

Juara All Stars Buka Panggung bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 beserta trofi.

Manakala naib juara memperoleh wang tunai RM25,000 dan trofi, tempat ketiga (RM10,000 dan trofi) dan tempat keempat (RM5,000 dan trofi).

Persembahan peserta 100 peratus ditentukan menerusi undian online penonton.

Minggu separuh akhir turut dimeriahkan dengan kemunculan artis undangan seperti Tomok, A.R Badul, Zuliz Aziz dan Mark Adam.

All Stars Buka Panggung dihoskan Ajak dan Shahrul Shiro serta Seri Dewi Panggung, Erra Fazira dan ia disiarkan secara langsung dari Royal Theatre Shah Alam menerusi saluran Astro Warna (132) dan Warna HD (125). – KopiPlanet.com

Markah Undian Online Minggu Separuh Akhir:

Zul Huzaimy: 23.2 peratus

Norkhiriah: 20.37 peratus

Rita Rudaini: 18.88 peratus

Datuk Aaron Aziz: 18.85 peratus

Datuk Rosyam Nor: 18.69 peratus

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend