
Miley Cyrus, Liam Hemsworth Kahwin Senyap-Senyap?
Ketika ini di Hollywood khabar angin bertiup kencang mendakwa pasangan popular, Miley Cyrus dan Liam Hemsworth sudah berkahwin baru-baru ini.
Mereka dikatakan kahwin secara senyap-senyap memandangkan kedua-duanya memakai cincin serupa di jari manis masing-masing.
Malah lokasi percutian mereka pada ketika ini iaitu di Pulau Tybee, Georgia menguatkan spekulasi terbabit berikutan pulau tersebut mempunyai memorinya yang tersendiri buat Miley dan Liam.
Ini kerana ia merupakan lokasi di mana mereka berkongsi ciuman pertama ketika menjayakan salah satu babak romantis dalam filem The Last Song, yang mempertemukan mereka pada 2009.
Sejak dari itu, mereka mula berpacaran dan bertunang namun hubungan mereka dilaporkan putus pada 2013.
Tahun lalu mereka kembali bercinta dan menyambung semula ikatan pertunangan selepas beberapa kali putus cinta dengan pasangan masing-masing sebelum ini.
Walaupun mengetahui berita ‘perkahwinan’ mereka menjadi bualan hangat, namun baik Miley mahu pun Liam, mereka belum lagi mengeluarkan sebarang kenyataan bagi menjawab persoalan tersebut.
Ia sekali gus menguatkan andaian peminat bahawa mereka berdua sebenarnya sudah berkahwin secara senyap-senyap tanpa pengetahuan umum. – KopiPlanet.com



