
Erry Putra Bergaduh Dengan Fara Hazel, Dah Lama Tak Berhubung
Pelakon dan penyanyi Erry Putra mengakui hubungannya dengan penyanyi Fara Hazel dilanda badai apabila berlaku perselisihan faham di antara mereka baru-baru ini selain hubungan mereka tidak direstui keluarga kedua belah pihak.
Menurut Erry atau nama sebenarnya Mohd Razlan Hamzah, 40, sehingga kini dia tidak mengetahui apakah status hubungannya dengan kakak kepada penyanyi Aiman Tino itu.
“Kami ada bergaduh sedikit dan enggan mengeruhkan lagi keadaan, kami ambil pendekatan berdiam diri dan tidak berhubung di antara satu sama lain.
“Sebelum ini memang kami bercinta tapi dengan keadaan kami sekarang, saya pun tak tahu status hubungan ini lagi apabila sejak masuk bulan puasa ini memang kami langsung tidak berhubung.
“Sukar hendak saya katakan kerana keluarga kedua-dua belah pihak tidak merestui hubungan ini jadi kami berdiam diri buat masa sekarang,” katanya kepada KopiPlanet.com.
Erry turut mendedahkan mereka mula bercinta sejak awal tahun ini selepas berkenalan dengan lebih rapat sejak menyertai satu pertandingan futsal anjuran sebuah stesen televisyen.
Sementara itu, dalam perkembangan terbaharu, Erry bakal muncul dengan rekaan baju melayu bercirikan tiga kaum di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India yang akan mula dijual di Festival Havoc Raya 2018 dari 1 hingga 3 Jun ini di Cheras Central Mall.
“Untuk baju melayu ini saya bekerjasama dengan UA Boutique dan yang menariknya rekaannya sangat unik apabila menggabungkan budaya tiga kaum utama di Malaysia.
“Sebanyak 21 variasi warna baju melayu selain ia dijual dalam kuantiti yang sangat terhad iaitu sebanyak 2,000 unit untuk satu warna bagi memberikan ciri eksklusif kepada pemakainya,” katanya.
Setiap helaian baju melayu itu dijual pada harga RM239 sepasang dan Erry tidak menafikan harganya yang sedikit mahal adalah kerana ia berbaloi dengan kualiti produk yang dikeluarkan itu selain jahitannya yang kemas dan tahan lasak. – KopiPlanet.com




