Cerita ArtisHiburan

“Masa Berlakon Di Pilah, Anak Masuk Hospital Kuala Pilah” – Waris

Penyanyi rap Waris yang tampil dengan filem pertama, This Is Pilah berkongsikan satu insiden di mana anak tunggalnya, Muddassir Muzzammil dimasukkan ke Hospital Kuala Pilah di saat dia sedang sibuk menjalani penggambaran filem itu tahun lalu.

Menurut Waris atau nama sebenar, Muzzammil Alias, anaknya yang pada ketika itu berusia satu tahun dua bulan terpaksa dikejarkan ke hospital gara-gara memasukkan anak ayam ke dalam mulutnya.

“Ketika seminggu saya menjalani penggambaran di Kuala Pilah ada satu insiden yang saya tidak akan lupakan. Seminggu saya duduk di Pilah anak saya pula masuk Hospital Kuala Pilah.

“Dia duduk dengan ibu dan bapa saya ketika penggambaran, dah duduk kawasan kampung, anak saya pun apa lagi masukkan anak ayam dalam mulutnya sehingga menyebabkan dia terkena jangkitan bakteria di bahagian paru-paru.

“Insiden itu sedikit sebanyak merencatkan fokus saya terhadap lakonan tapi saya dapat hadapinya dengan baik,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Waris ditemui ketika majlis berbuka puasa bersama barisan pelakon This Is Pilah di Restoran Q-Thai Village, Ampang baru-baru ini.

This Is Pilah bakal memasuki pawagam pada 21 Jun ini. Filem yang diarahkan Rosdi Md Dali turut dibintangi Juzzthin, Iesna Raus, Kazar dan Ebby Yus.

Filem ini turut menampilkan penampilan khas bekas ahli parlimen Kuala Pilah, Datuk Seri Hassan Malek, Ito Blues Gang dan Ustaz Syamsul Debat.

Ketika ditanya mengenai lakonan dan nyanyian, Waris 30, berkata dia tetap mengutamakan bidang nyanyian memandangkan itu adalah minat utamanya.

“Pada mulanya saya tak nak berlakon tapi apabila penerbit dah pelawa, saya pun mencuba. Saya memang tak minat berlakon sebenarnya sebab lebih suka buat-buat kerja studio. Tapi disebabkan filem ini ada kelainannya yang tersendiri sebab itu saya terima.

“Untuk filem ini juga saya perlu belajar loghat orang Pilah, sebabnya walaupun saya orang Rembau tapi loghat Pilah lebih pekat dari orang Rembau. Saya ambil masa juga belajar dengan orang-orang yang berasal dari sana,” ujarnya lagi.

This Is Pilah yang diterbitkan Madness Films Sdn. Bhd. mengisahkan hasrat seorang pemuda di Kuala Pilah yang mahu memperisterikan gadis idamannya tetapi terpaksa berdepan dengan halangan bapa gadis itu kerana berasal dari suku yang sama. Agak-agaknya dapatkah mereka ‘melanggar’ adat untuk bersatu? – KopiPlanet.com

Kredit Foto: Instagram Waris

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button