
Lepas 7 Tahun Berpisah, Jozan Bergabung Semula Demi Peminat
Selepas hampir tujuh tahun tidak disatukan dalam satu pentas yang sama, bermula 24 Julai ini peminat Johan dan Zizan Razak dapat melihat kemunculan semula Jozan menerusi program Lawak Live.
Menerusi rancangan selama satu jam itu, Jozan akan menghiburkan penonton dengan pelbagai kupasan segmen menarik untuk tontonan anda.
Menurut Pengurus Saluran Astro Warna, Norzeha Mohd Salleh, gabungan dua pelawak popular itu sememangnya ditunggu-tunggu semua pihak selain ingin memenuhi permintaan peminat yang sudah lama merindukan keletah duo ini di kaca televisyen.
“Sebenarnya sudah beberapa tahun kami cuba dapatkan Jozan dan Alhamdulillah akhirnya dapat direalisasikan pada tahun ini. Sebelum ini, jadual kerja mereka yang ketat menyebabkan usahasama ini tidak dapat dijalankan dan sekarang merupakan masa yang tepat untuk menggembalikan semula kegemilangan Jozan.
“Uniknya program Jozan ini, ia merupakan satu-satunya program siaran langsung di Astro Warna yang tidak terikat dengan sesuatu format. Kami membawakan pelbagai bentu pengisian hiburan komedi seperti nyanyian, sketsa, cabaran santai, debat komedi, bual bicara dan pelbagai lagi yang akan bertukar-tukar pada setiap minggu, bersesuaian dengan topik pada minggu tersebut,” katanya kepada KopiPlanet.com.
Norzeha ditemui pada majlis pelancaran Lawak Live: Jozan yang telah berlangsung di Black Bull, Avenue K, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sementara itu, Johan menyifatkan penyatuan semula Jozan ini sebagai hadiah mereka buat peminat setia yang sudah lama merindui kemunculan mereka.
“Kali terakhir saya ada program bersama Zizan pada tujuh tahun lalu. Selepas itu, kami hanya bekerjasama melalui acara atau majlis luar sahaja. Apabila dapat tawaran untuk program ini, saya terus terima sebab tertarik dengan idea konsep yang digunakan.
“Program ini ada 40 episod dan ia sesuatu kerja yang panjang serta memberi peluang untuk saya memperbaiki kelemahan setiap episod,” katanya yang juga bergelar penyampai radio Era.
Zizan pula berkata program ini akhirnya menjawab pertanyaan peminat yang sentiasa bertanyakan bila mereka akan kembali bergabung.
“Kami kembali bergandingan disebabkan permintaan daripada peminat yang nak kami disatukan semula dalam satu pentas. Saya pun dah lama tiada program bual bicara selain rindu nak bekerja dengan Johan,” ujarnya.
Lawak Live: Jozan akan disiarkan pada setiap Selasa bermula 24 Julai ini, jam 10 malam di saluran Astro Warna (132), Warna HD (124) dan aplikasi digital Astro Go dan On Demand. – KopiPlanet.com