
Isu Barang Fake: Kalau Tak Mampu, Saya Tidak Akan Beli – Neelofa
Pelakon dan pengacara, Neelofa Mohd Noor menegaskan dia tidak akan sesekali memakai barangan tiruan sekiranya tidak mampu untuk memiliki sesuatu jenama mewah yang diminatinya.
Menurut usahawan ini lagi, jika tidak mampu untuk memiliki sesuatu barangan berjenama dia akan menanam impian agar satu hari dia akan dapat memiliki barang yang diidamkannya itu.
“Kalau saya tiada duit untuk beli barang berjenama, saya memang tidak akan beli langsung. Saya memang tidak akan beli sama ada ia gred A atau gred B sekali pun.
“Sebaliknya saya jadikan ia sebagai satu motivasi agar satu hari nanti saya boleh beli juga barang yang diinginkan itu.
“Macam sekarang pun saya masih lagi simpan impian nak membeli-belah tanpa memikirkan banyak kali sama ada harga barang itu mahal atau tidak,” katanya kepada KopiPlanet.com.
Neelofa ditemui pada kempen kebajikan sosial A Cup Of Kindness anjuran Starbucks di Jalan Ampang, Kuala Lumpur hari ini.
Menerusi kempen tersebut, setiap jualan segelas air Ruby Red Grape dan Apricot Peach Yogurt pada hari ini, 0.50 sen daripada hasil jualan akan disumbangkan kepada badan kebajikan yang dipilih oleh Neelofa.
Walaupun menentang orang yang memakai barangan tiruan, Neelofa tidak bersetuju dengan pendekatan digunakan satu akaun Instagram mendedahkan selebriti tempatan yang menggayakan barangan tiruan.
“Ia satu pendekatan yang kasar untuk mendidik masyarakat dan ia sesuatu yang mengaibkan dan memalukan individu yang didedahkan itu.
“Tapi saya rasa ini masanya kita kena ubah cara pemikiran masyarakat agar tidak memakai barangan tiruan.
“Saya memang tidak sokong individu yang memakai barang tiruan. Macam saya sendiri pun terkilan bila nampak orang pakai tudung tiruan Naelofar walhal saya jual tak lebih RM100 pun sehelai,” ujarnya lagi.
Laman Instagram, StreetwearBustaMy sebelum ini pernah mendedahkan beberapa artis tempatan memakai barangan tiruan berjenama mewah.
Antara artis yang pernah dikantoikan adalah seperti Haqiem Rusli, Aiman Tino, Janna Nick, Emma Maembong dan Fathia Latiff. – KopiPlanet.com