• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

Aaron Aziz Tolak Berlakon Produksi Antarabangsa Demi Jaga Isteri

Pelakon Datuk Aaron Aziz rela melepaskan peluang bekerjasama dengan sebuah produksi antarabangsa HBO demi menjaga isterinya, Datin Diyana Halik yang ketika itu sedang sakit.

Menurut Aaron, dia lebih mengutamakan insan tersayang dan rela melepaskan watak tersebut biarpun ia merupakan satu tawaran menarik buat perjalanan karier seninya.

“Saya dah sampai pun di tempat penggambaran di Batam, Indonesia. Dalam masa yang sama, isteri saya tiba-tiba jatuh sakit dan saya ambil keputusan untuk menarik diri daripada drama tersebut.

“Apapun saya berterima kasih kepada penerbit yang memahami masalah saya ketika itu dan mereka tiada masalah untuk melepaskan saya. Bagi saya ini merupakan ujian daripada Allah dan saya lebih rela menjaga isteri, orang yang kita sayang di kala dia sedang sakit. Rezeki InsyaAllah ia akan datang lagi di kemudian hari,” katanya.

Pelakon kelahiran Singapura itu berkata demikian ketika ditemui pada malam pratonton filem Operasi X yang berlangsung di MM2 Cineplexes, Damansara semalam.

Selain Aaron, filem itu turut dibintangi Datuk Awie, Nasir Bilal Khan, Datuk Yusof Haslam, Hefny Sahad dan Hairul Azreen.

Ditanya antara faktor yang membuatkan Aaron menerima projek filem Operasi X, aktor itu memberitahu salah satu sebabnya adalah barisan pelakon yang membintangi filem berkenaan.

“Antara perkara yang membuatkan saya tertarik dengan filem ini ialah kerana saya belum pernah bekerjasama dengan Datuk Awie, Nasir Bilal Khan dan Datuk Yusof Haslam sebelum ini.

“Selain itu, bila saya baca skrip filem ini ia mengetengahkan jalan cerita yang berlainan daripada filem-filem yang pernah ada sebelum ini,” ujarnya lagi.

Ketika di saat filem aksi tempatan Paskal menerima sambutan hangat, Aaron tidak dapat menolak sekiranya ada pihak membuat perbandingan dengan filem Operasi X yang dilakonnya.

“Saya tahu pasti akan ada orang yang akan membanding-bandingkan filem ini dengan filem aksi lain. Saya tak boleh buat apa kalau orang nak berbuat demikian yang penting saya dah buat yang terbaik untuk filem ini. Semuanya terpulang kepada penonton untuk menilai,” katanya lagi.

Operasi X yang diarahkan Sandosh Kesavan akan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 1 November ini. – KopiPlanet.com

Kredit foto: Instagram Datuk Aaron Aziz

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend