“Anak-Anak Saya Mudah Mesra Dengan Aidil” – Fasha Sandha
Hubungan mesra yang terjalin di antara pelakon popular Fasha Sandha dan Aidil Aziz ketika ini bukan lagi rahsia di mata umum terutamanya peminat.
Malah, pelakon itu juga turut memaklumkan yang mereka sudah pun bertemu dengan ahli keluarga kedua-duanya baru-baru ini.
“Saya dan Aidil dah saling mengenali keluarga masing-masing. Saya pernah jumpa keluarga dia dan dia juga pernah bertemu keluarga saya.
“Kehadiran Aidil di sisi semakin mewarnai kehidupan saya yang sememangnya sudah bahagia sejak dari dahulu lagi. Kiranya Aidil menambahkan lagi kebahagiaan dalam diri saya selain daripada keluarga dan anak-anak saya,” katanya kepada KopiPlanet.com.
Fasha ditemui pada majlis memperkenalkan dirinya sebagai duta ubat gigi Aurawhite yang diadakan di Meet & Dine, Budiman Business Park, Cheras semalam.
Menurut Fasha lagi, anak-anaknya, Rayfal dan Jemyma sudah semakin mesra dengan Aidil yang dipanggil Pak Ngah oleh mereka.
“Saya sebenarnya agak terkejut dengan Jemyma yang mudah mesra ketika dengan Aidil. Sebelum ini, Jemyma memang agak susah nak rapat dengan lelaki lain kecuali bapanya.
“Namun begitu, apabila dengan Aidil dia jadi senang mesra. Mungkin sebab Aidil ada aura yang boleh buat budak-budak suka pada dia,” katanya lagi.
Hubungan Fasha dan Aidil dikatakan mula rapat sejak aktor itu bergandingan dengannya menerusi sitkom Mami Mamu Gosip pada awal tahun ini.
Malah, Fasha turut merancang majlis sambutan hari lahir jejaka yang kini bertakhta di hatinya dan disambut meriah dengan kehadiran rakan-rakan baik mereka pada hujung bulan lepas.
Fasha sebelum ini pernah berkahwin dengan Rizal Ashram Ramli pada April 2012 sebel disahkan bercerai pada Januari 2016. Hasil perkahwinan, Fasha memiliki sepasang cahaya mata, Putra Rayfal Ramli, 5, dan Puteri Raysha Jemyma, 3 tahun. – KopiPlanet.com




