• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

Bawa Watak Drifter, Akim Ahmad Berjaya Turun Berat Badan 11 Kilogram

Bakal menjayakan watak sebagai seorang pelumba kereta drifter, pelakon dan penyanyi Akim Ahmad, 28, mendedahkan dia telah berjaya menurunkan berat badannya sebanyak 11 kilogram sejak dua bulan lalu.

Filem Marabahaya Underground yang merupakan filem sulung terbitan D’Edge Communication Sdn. Bhd. bakal menyaksikan Akim melakonkan babak-babak aksi yang mana sebelum ini tidak pernah dijayakannya di layar perak.

“Antara cabaran yang perlu saya lakukan untuk menjayakan watak yang diberikan ialah untuk menurukan berat badan agar ia selari dengan watak remaja berusia 21 tahun menerusi watak bernama Chon.

“Setakat ini, saya sudah berjaya turunkan berat badan daripada 74 kg ke 64 kg dalam masa dua bulan. Saya cuma amalkan ‘intermittent fasting’ yang mana saya hanya akan jamah makanan berat dari jam 9 pagi hingga 3 petang pada setiap hari,” katanya.

Dia berkata demikian kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Marabahaya Underground (MU) di Movie Animation Park Studios (MAPS), Ipoh, Perak baru-baru ini.

Pernah tampil menerusi filem Hoore! Hoore! pada tahun 2012, Akim memberitahu mendapat peluang membintangi filem ini merupakan kesempatan terbaik untuk dia tampil di layar perak.

“Baru sekarang saya berkesempatan untuk kembali lagi berlakon filem. Saya bukan memilih naskhah lakonan, sebaliknya bagi saya penerbitan filem ini tidak terlalu mengambil masa yang lama.

“Sebaik sahaja ditawarkan berlakon dalam filem sukan permotoran ini terus saya bersetuju sebab ia adalah satu perkara yang dekat dengan saya sebab kebelakangan ini memang saya aktif dalam bidang permotoran kereta (racing car) jadi dapatlah saya realisasikan serba sedikit elemen ‘racing’ dalam filem ini,” ujarnya.

Selain Akim, filem aksi arahan Helmi Yusof ini turut dibintangi Hazama, Dayana Roza dan Fatin Afeefa serta bakal menjalani penggambaran sepenuhnya di Ipoh pada bulan Ramadan ini.

Dalam pada itu, mengenai wataknya yang bakal melakonkan babak romantik bersama Fatin Afeefa yang merupakan kekasihnya dalam filem tersebut, dia mengatakan tiada sebarang masalah kerana isterinya, Stacy Anam sangat memahami tuntutan kerjanya sebagai seorang pelakon.

“Stacy memang tiada masalah kalau saya perlu berlakon watak romantik dengan pelakon wanita lain. Dia seorang yang sangat memahami. Memang kadang-kadang akan ada babak bersentuhan itu tapi ia tidak melampaui batas.

“Lagipun menerusi filem Marabahaya Underground ini bukan kisah cinta yang perlu diberi perhatian sebaliknya, sukan aksi permotoran itu yang akan lebih dititikberatkan dalam penceritaan,” katanya.

Marabahaya Underground merupakan filem komedi aksi yang mengisahkan kehidupan seorang pelajar kolej, Fison Hamidi atau Chon (Akim) yang amat meminati sukan drift dan mengidolakan Shah Dani (Hazama) sebagai pelumba lagak ngeri yang bekerja di Taman Tema MAPS, Ipoh. – KopiPlanet.com

Kredit foto: Instagram Akim Ahmad

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend