• FOLLOW US
Rancangan TV, TV

Cerita Rakyat Suatukala – Timun Mas & Ijo Papar Kisah Rakyat Nusantara

Jarang-jarang sekali membawakan watak gelap dan antagonis, pelakon Fasha Sandha berpeluang membawakan karakter tersebut menerusi filem televisyen (FTV), Suatukala – Timun Mas & Ijo yang diterbitkan oleh Red Communications Sdn Bhd.

Mengangkat tema cerita rakyat serumpun, Timun Mas & Ijo merupakan kisah rakyat nusatara yang diinspirasikan dari ceritera rakyat Jawa, Indonesia.

Timun Mas & Ijo mengangkat tema kekeluargaan, persahabatan dan kesetiaan menjadi latar utamanya selain menyuntik elemen komedi, fantasi dan penggembaraan sebagai genre tumpuan.

Diarahkan oleh Shamyl Othman, FTV ini menghimpunkan nama-nama besar dari kedua-dua negara Malaysia dan Indonesia. Fasha keluar dari zon selesa apabila membawakan watak antihero, seorang ahli sihir, Mak Andeh yang memiliki kuasa sakti dari negara Inderaloka.

Watak beliau diriingi dua penggemudi lain iaitu pelakon cilik Fikry Kiki sebagai Mat Jenin dan pelakon filem Tamil tempatan, Kishok Kumar sebagai Ijo.

Mengulas mengenai wataknya, Fasha berkata, dia mengambil rujukan daripada lakonan pelakon Hollywood, Angelina Jolie menerusi watak Maleficient seperti mana yang dituntut pihak produksi.

“Pihak produksi meminta saya untuk membuat rujukan watak menerusi filem Maleficient lakonan Angelina Jolie. Namun yang selebihnya saya lakukan sendiri untuk menghidupkan watak saya dan saya mengambil masa kira-kira tiga minggu untuk menjiwai watak sebagai seorang ahli sihir,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pratonton FTV Timun Mas & Ijo di TGV One Utama, Damansara baru-baru ini.

Dua pelakon Indonesia iaitu Prisia Nasution dan Vanka JKT48 pula memainkan peranan sebagai Mbak Sarini yang menjaga Timun Mas sejak dari kecil lagi yang akhirnya menjadi buruan Mak Andeh untuk kepentingannya sendiri.

Menurut Penolong Naib Presiden GenNext Studios Astro, Yasmin Yahya, Suatukala merupakan satu jenama yang mengangkat kisah-kisah rakyat Nusantara dan disajikan kepada audiens yang berkongsi persamaan dari aspek bahasa, budaya dan tradisi.

“Tahun lalu kami mengangkat tiga kisah dongeng serumpun iaitu Bawang Merah Bawang Puteh, Malin Kundang dan Badang secara sekali gus dalam satu naskhah kompak. Kali ini kami pertontonkan pula sebuah ceritera rakyat yang popular di Indonesia, Timun Mas dengan harapan boleh dikongsikan bersama masyarakat serumpun yang masih berpegang kepada nilai-nilai ketimuran yang sama.

“Timun Mas & Ijo sesuai dijadikan hiburan santai seisi keluarga kerana ia juga sarat dengan input positif dan dijadikan nilai-nilai murni. Lebih menarik apabila kami gabungkan pelakon dari dua negara, Malaysia dan Indonesia agar hasil karya ini lebih luarbiasa. Ternyata, percaturan tersebut sangat tepat dan hasil akhir Suatukala – Timun Mas & Ijo tidak mengecewakan,” katanya.

Sementara itu, pengarahnya, Shamyl Othman pula berkata, “Saya harap cubaan saya untuk menzahirkan sebuah filem televisyen yang kelakar dan menghiburkan tapi pada masa yang sama menyentuh perasaan, berjaya. Niat saya juga ialah untuk cuba memaparkan watak perempuan yang bersemangat kuat dan berdikari terutama melalui watak Timun Mas,” ujarnya yang pernah mengarahkan Suatukala: Bawang Merah Bawang Putih tahun lalu.

Timun Mas dan Ijo sudah boleh dilanggan menerusi Astro First Eksklusif (saluran 480) dan menerusi platform digital On Demand sejak 1 Ogos lalu. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend