Cerita ArtisHiburan

Chelsea Islan Terbuka Terima Tawaran Berlakon Daripada Produksi Malaysia

Pelakon Indonesia, Chelsea Islan berkata dia terbuka menerima pelawaan untuk berlakon dalam produksi Malaysia.

Menurut aktres cantik berusia 23 tahun itu, dia tidak keberatan untuk berlakon di Malaysia bagi mengembangkan lagi bakatnya di negara ini.

“Saya terbuka untuk menerima tawaran berlakon daripada Malaysia dan tidak kisah jika perlu datang ke sini untuk menjalani penggambaran.

“Saya senang sekali sebab ia akan dapat mengukuhkan hubungan kerjasama dalam bidang perfileman di antara dua negara Malaysia dan Indonesia selain saling menyokong di antara satu sama,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Chelsea ditemui pada malam gala pratonton filem terbaharu lakonannya, Sebelum Iblis Menjemput yang diadakan di MM2 Cineplexes, Mutiara Damansara baru-baru ini.

Menerusi filem seram arahan Timo Tjahjanto itu, Chelsea memainkan watak sebagai Alfie, seorang anak yatim piatu yang perlu mencari aset warisan bapanya di vila lama kepunyaan keluarganya yang terletak di pinggir bandar.

Ketika ditanya mengenai adegan yang paling sukar dilakonkannya, Alfie menyifatkan babak dirinya terjatuh ke dalam tanah kubur yang paling sukar dilakukannya dan benar-benar mencabar kebolehannya sebagai seorang pelakon serba boleh.

“Babak yang saya terjatuh ke dalam tanah kubur itu antara yang paling sukar dilakonkan dan untuk melengkapkan keseluruhan babak itu mengambil masa selama 12 jam yang mana kami mula shooting jam 9 malam dan berakhir pada 9 pagi keesokannya.

“Semua itu saya lakukan sendiri malah guru lakonan juga sudah beritahu adegan itu bukan suatu yang mudah, jadi saya dah bersedia mental dan fizikal pada ketika itu.

“Selain itu, antara cabaran lain dalam filem ini ialah banyak babak memerlukan kami saling menjerit di antara satu sama lain, tapi ia tidak menjejaskan tekak kami para pelakon sebab sudah diajar oleh cikgu lakonan untuk menggunakan suara dari perut agar ia tidak menyakitkan tekak kami,” ujarnya lagi.

Sebelum Iblis Menjemput merupakan filem ketiga lakonan Chelsea yang ditayangkan di Malaysia selepas Rudy Habibie dan Ayat-Ayat Cinta 2.

Karya ini turut dibintangi pelakon seperti Pevita Pearce, Samo Rafael, Karina Suwandi, Ray Sahetapi, Hadijah Shahab dan Ruth Marini.

Sebelum Iblis Menjemput yang diedarkan oleh Ediate Media bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 20 September ini. – KopiPlanet.com

Kredit foto: Instagram Sebelum Iblis Menjemput

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button