Cerita ArtisHiburan

Cintakan Dunia Lakonan, Adam Shahz Tolak Tawaran Jadi Jurutera

Terlalu mencintai dunia lakonan menyebabkan pelakon Adam Shahz pernah menolak untuk kembali kepada pekerjaan asalnya sebagai seorang jurutera.

Menurut pelakon yang kini turut berkecimpung sebagai pemandu Grab itu, ada pelanggannya yang mengetahui pekerjaan lamanya itu menawarkan pekerjaan tersebut.

“Selain berlakon, saya juga tak malu nak mengaku yang saya kini merupakan seorang pemandu Grab. Ini semua saya lakukan semata-mata mahu menambahkan pendapatan dan seronok melakukannya.

“Pelbagai pengalaman yang saya lalui dan kebanyakan pelanggan memang mengetahui saya seorang pelakon. Malah, ada juga yang menawarkan saya untuk kembali bekerja sebagai seorang jurutera,” ujar bekas penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu.

Bagaimapun, Adam menjelaskan dia terpaksa menolak tawaran berkenaan semata-mata mahu memberi sepenuh tumpuan kepada bidang lakonan.

“Kalau saya terima tawaran tersebut, ia bermakna saya terpaksa tinggalkan terus dunia lakonan. Lagipun jiwa saya masih lagi kuat untuk menjadi seorang anak seni,” ujarnya.

Dalam pada itu, ketika ditanya adakah dia seorang yang selektif dalam memilih sesuatu tawaran berlakon, Adam berkata dia tidak kisah diberikan apa sahaja watak yang bersesuaian.

Ujarnya, biarpun pernah memenangi anugerah di Festival Filem Malaysia (FFM) sebelum ini, dia tidak kisah sekiranya diberi watak pembantu atau artis jemputan.

“Saya memang tidak kisah dan tawarkan sahaja apa watak, tetapi ia haruslah sesuai untuk saya bawakan dan harganya juga perlulah berbaloi.

“Sebelum ini, ada seorang rakan saya pernah ditawarkan oleh sebuah produksi dengan bayaran RM200 sahaja untuk satu episod bagi watak utama dan saya rasa ia tidak sepatutnya terjadi,” tegasnya.

Menurutnya, dia juga pernah mendapat tawaran daripada produksi yang sama, namun dia telah menolaknya sehingga dia disenarai hitam oleh sebuah stesen televisyen.

“Tidak perlulah saya beritahu stesen televisyen yang mana kerana mungkin ramai yang perasan saya dah lama tak muncul di stesen tersebut. Apapun saya tetap redha dengan apa yang berlaku,” luahnya. – KopiPlanet.com

Kredit Foto: Instagram Adam Shahz

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button