
Faizal Hussein Tidak Memilih Produksi Asalkan Jalan Cerita Menarik
Walaupun sudah lama berkecimpung dalam bidang seni lakon, Faizal Hussein, 51, berkata dia tidak sesekali memilih produksi sebaliknya hanya tertarik dengan sesuatu naskhah itu sekiranya jalan ceritanya menarik dan berbaloi untuk dicuba.
Menurut Faizal, jika kebanyakan rakan-rakan pelakon seusianya lebih memilih produksi yang sudah lama bertapak, dia tidak kisah jika berlakon di bawah produksi yang baharu sahaja ditubuhkan.
“Saya memang tidak memilih untuk berlakon di bawah mana-mana syarikat produksi. Sebaliknya, saya lebih tertarik dengan skrip dan jalan cerita yang menarik dan berbaloi untuk dicuba.
“Saya suka berlakon dengan produksi yang baharu sebab kadang-kadang mereka ada banyak idea yang lagi segar yang boleh memeriahkan lagi industri kita,” katanya kepada KopiPlanet.com.
Faizal ditemui pada majlis doa selamat dan pelancaran filem M4M4 yang berlangsung di Hotel Summit City Centre, Kuala LUmpur baru-baru ini.
Selain Faizal, M4M4 turut dibintangi Nabila Huda, Kodi Rasheed, Ku Hariz, Eyra Hazali, Bella Dowanna dan Izzy Reef.
Sementara itu, Faizal baharu selesai menjalani penggambaran drama bersiri penyiasatan terbitan produksi Britain-Amerika Syarikat, Strike Back yang akan ditayangkan menerusi saluran Cinemax.
Menurut Faizal, ini merupakan kali pertama dia menerima tawaran membintangi drama terbitan produksi dari sana.
“Sebelum ini saya sering dapat tawaran daripada produksi luar seperti Hong Kong, Indonesia dan Filipina. Saya teruja membintangi Strike Back malah saya turut melakukan sentiasa aksi-aksi stunt dalam filem itu tanpa menggunakan pelakon pengganti.
“Saya nak mereka lihat pelakon Malaysia berani dan serba boleh. Dalam drama itu saya seorang sahaja yang tidak menggunakan pelakon pendua sedangkan pelakon utama drama itu menggunakan pelakon pengganti bagi melakonkan babak-babak aksi lasak,” kata bapa kepada dua cahaya mata itu. – KopiPlanet.com



