• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

Fauziah Latiff Cabar Diri Berlakon Filem, Cuba Realisasikan Watak Tun Hasmah

Pertama kali berlakon filem, penyanyi Fauziah Latiff terharu apabila diberikan peranan yang cukup besar apabila bakal menjayakan watak Wanita Pertama Malaysia, isteri perdana menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali menerusi filem Mahathir The Journey.

Mahathir The Journey yang bakal memulakan penggambarannya bermula pertengahan Disember ini diterbitkan oleh Reliance Media Group dan dijangka ditayangkan pada bulan Julai tahun hadapan.

Mengulas mengenai watak yang bakal diperanankan olehnya, Fauziah berkata, dia akan memberikan yang terbaik malah jika berkesempatan ingin bertemu dengan Tun Hasmah bagi mendalami lebih mendalam karakter beliau.

“Saya bersyukur dipilih menjayakan watak Tun Hasmah selepas melalui proses ujibakat yang dijalankan pihak produksi. Saya terima watak ini sebab nak cabar diri sendiri. Banyak yang saya boleh belajar kerana ini merupakan satu naskhah yang sangat berharga untuk saya dan begitu juga untuk generasi masa akan datang.

“Saya bangga sebagai anak Malaysia, kita ada Tun Hasmah yang merupakan seorang figura yang sangat disegani malah beliau menunjukkan ciri-ciri seorang isteri yang berwibawa apabila sentiasa berada di sisi suaminya tidak kira dalam situasi sukar macam mana pun. Itu memberikan satu inspirasi kepada saya dan kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis sidang media Mahathir The Journey yang berlangsung di Hotel Sheraton, Petaling Jaya semalam.

Sebagai permulaan, Fauziah, 49, berkata dia kini sering melayari laman Youtube dengan menonton video-video memaparkan Tun Hasmah dalam setiap majlis yang dihadirinya bagi mendapatkan serba sedikit gambaran karakter beliau.

“Seperti yang kita semua tahu, Tun Hasmah seorang yang lemah-lembut orangnya dan saya banyak buat rujukan dengan menonton video beliau. Saya tak janji boleh beri 100 peratus sama dengan beliau tapi saya akan cuba memberikan yang terbaik bagi menggambarkan diri beliau.

“Jika berkesempatan, saya nak berjumpa dengan beliau bagi meminta izin dan mungkin dapat meluangkan sedikit masa untuk mendalami dengan lebih dekat karakter beliau. Tapi saya memahami jadual Tun Hasmah pastinya padat dengan pelbagai acara dan aktiviti yang perlu dihadiri. Kalau tidak dapat berjumpa, saya akan tetap membuat rujukan dengan melihat video-video beliau daripada pelbagai sumber,” katanya.

Selain Fauziah, Mahathir The Journey turut dibintangi Azhar Amir yang akan membawakan watak Tun Dr Mahathir Mohamad, Hilal Azman (Datuk Seri Anwar Ibrahim), Dian P. Ramlee (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail), Ning Baizura (Marina Mahathir), Lisdawati (Nurul Izzah Anwar) dan Dazrin Kamaruddin (YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman).

Filem yang menelan kos penerbitan sebanyak RM6 juta ini bakal diarahkan oleh Profesor Dr. Mohamad Hatta Azad Khan. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend