Pelakon Fizo Omar akhirnya mengesahkan rumah tangganya sedang bergolak dan meminta semua pihak agar mendoakan yang terbaik buat dirinya dan isteri, Mawar Abdul Karim.
Menurut Fizo, walau apa pun yang berlaku dalam perkahwinan mereka, pasangan itu akan terus mengekalkan hubungan baik demi anak mereka, Wan Maryam yang kini berusia dua tahun.
“Sesiapa sahaja yang mendirikan rumah tangga pasti mempunyai impian untuk hidup bahagia dan mempertahankan rumah tangga hingga ke jannah.
“Tapi apabila sampai waktunya, kita dipilih oleh Allah untuk diuji. Ia bermaksud kita mampu untuk menghadapinya dan percayalah Allah tidak pernah zalim kepada hamba-Nya.
“Apa-apa pun keputusan mahkamah nanti saya terima. Saya memohon maaf dan juga memaafkan semua pihak. Walau apa yang berlaku sekalipun, InsyaAllah hubungan saya dan Mawar akan terus baik demi membesar dan mendidik Wan Maryam, zuriat daripada Allah yang kami nantikan selama empat tahun. Apa jua yang terjadi Mawar tetap ibu kepada anak kami,” tulis Fizo di laman Instagramnya.
Fizo turut berterima kasih kepada semua pihak yang tidak henti-henti memberikan kata-kata semangat buat dirinya sepanjang menjalani waktu sukar ini.
“Terima kasih kepada semua yang memberikan kata-kata semangat, doa yang baik-baik dan saya juga memaafkan segala komen-komen mahupun fitnah yang dilemparkan netizen kerana mereak tidak tahu kisah sebenarnya,” katanya.
Hubungan Fizo dan Mawar sebelum ini dikatakan bergolak selepas kedua-duanya menyambut sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini secara berasingan. Mawar difahamkan sudah bertemu peguam bagi mendapatkan khidmat nasihat berhubung masalah rumah tangga mereka.
Fizo dan Mawar bernikah pada 10 November 2013 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Wan Maryam, 2. – KopiPlanet.com