
Kaka Azraff Sah Bergelar Isteri Usahawan Adam Azriff
Penyanyi Kaka Azraff atau nama lengkapnya Noor Atiqa Azraff, 29, telah selamat diijabkabulkan dengan jejaka pilihan hati, Adam Azriff, seorang usahawan pada jam 9.53 malam di kediaman keluarganya di Klang, Selangor sebentar tadi.
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan pihak pengurusannya, Kaka dan Adam dinikahkan oleh Ustaz Azmi Selamat dan diwalikan oleh bapa saudara Kaka, Nor Izam Aminuddin. Penyanyi lagu Sibuk itu menerima mas kahwin bernilai RM300.
Majlis akad nikah yang serba sederhana itu dihadiri oleh kaum keluarga terdekat dan sahabat rapat kedua-dua belah pihak.
Mengangkat tema Melayu Klasik, Kaka kelihatan anggun mengenakan busana kebaya putih disamping suami yang nampak segak dalam persalinan daripada rona sama.
Kaka dan suami menzahirkan rasa syukur mereka kepada Allah S.W.T. dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak di atas doa restu dalam meraikan penyatuan kasih mereka ini.
Bagi meraikan pasangan mempelai, satu majlis resepsi bersama pihak media dan peminat akan diadakan pada suatu tarikh yang akan diberitahu kelak. – KopiPlanet.com
Kaka dan Adam mula menjalinkan hubungan istimewa sejak tiga bulan lalu sebelum mengambil keputusan bertunang pada 27 November lepas. – KopiPlanet.com