
Luang Masa Bersama, Katy Perry Kembali Ke Pangkuan Orlando Bloom
Biarpun sibuk dengan tuntutan kerja namun perkara itu tidak menghalang Katy Perry daripada lari sebentar ke London untuk memberikan sokongan kepada kekasihnya, Orlando Bloom yang terlibat dalam satu pementasan teater di sana.
Katy sebelum ini mengesahkan dia sudah kembali menjalinkan percintaan dengan Orlando kepada media antarabangsa. Pasangan ini mula berpacaran pada Januari 2016 sebelum berpisah pada Mac 2017.
Walaupun sibuk dengan konsert jelajah di Belanda dan Belgium, Katy tetap turun memberikan sokongan dengan menonton teater West End lakonan Orlando.
Pasangan itu turut dilaporkan sempat bercuti bersama di Rom, Itali bulan lalu.
“Orlando dan Katy kelihatan serasi bersama. Mereka kembali bercinta dan kali ini kedua-duanya kelihatan serius dengan perhubungan ini.
“Mereka sangat gembira dan tidak mahu menyembunyikan perkara ini daripada peminat mereka namun dalam masa yang sama tetap mahu diberikan privasi dalam menjalani kehidupan peribadi,” kata sumber.
Sementara itu, Orlando menerusi satu temubual dengan akhbar di United Kingdom, The Times berkata ia agak susah untuk mereka meluangkan masa bersama memandangkan kedua-duanya sangat sibuk dengan kerjaya.
“Katy dengan konsert jelajahnya, saya pula dengan pementasan teater. Walaupun begitu, saya sangat menghormati apa yang dia buat dan sangat mencintainya,” kata aktor yang cukup terkenal dengan filem francais Pirates of The Caribbean itu. – KopiPlanet.com