
Mesej Rindu Tak Tuju Pada Zizan, Hanya Kenyataan Umum
Hubungan rapat di antara pelakon Mira Filzah dengan Zizan Razak sebelum ini sering kali menjadi bualan ramai peminat setia mereka.
Namun, sehingga kini kedua-duanya tidak pernah mengiakan mahupun menafikan perkhabaran mengenai status sebenar hubungan tersebut.
Sehinggalah baru-baru ini nama mereka kembali diperkatakan semula apabila masing-masing dikatakan saling meluahkan perasaan rindu menerusi Insta Story mereka.
Menjawab perkara itu Mira berkata, “Saya tak tuju benda itu kepada sesiapa. It is very general (ia hanyalah kenyataan umum).”
“Saya pun tak jangka sebenarnya yang benda ini akan jadi isu,” kata Mira kepada KopiPlanet.com.
Mira berkata demikian ketika ditemui pada majlis pertunjukan fesyen raya Ariani di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, KLCC semalam.
Menurut Mira, fokusnya kini hanyalah pada kerjaya dan enggan mengulas lanjut mengenai hal-hal berkaitan kehidupan peribadi selepas ini.
“Saya senang berkawan dengan Zizan. Dia seorang lelaki yang baik. Kalau boleh selepas ini saya tidak mahu mengulas lagi mengenai hal peribadi. Tahun ini memang fokus saya hanyalah pada kerjaya sahaja,” katanya.
Mira kini sibuk menjalani penggambaran drama Rahsia Hati Perempuan di Perth, Australia. Menerusi drama itu, Mira, 25, digandingkan bersama Hisyam Hamid.
Rahsia Hati Perempuan bakal menemui penonton menerusi slot Mega Drama Astro Ria, Ramadan ini. – KopiPlanet.com