
“Jangan Paksa Saya Cakap Dah Bertudung Secara Tetap” – Amyra Rosli
Sejak pulang daripada mengerjakan ibadah umrah pada pertengahan bulan lalu, pelakon Amyra Rosli mengejutkan peminat dengan penampilan terbaharunya yang bertudung seperti mana yang dikongsikannya di laman sosial Instagram.
Walaupun tidak pernah membuat sebarang kenyataan secara rasmi mengatakan dia kini secara tetap telah menggayakan imej berhijab, ibu kepada Aqeef Anaqi, 2, ini meminta semua pihak mendoakan yang baik-baik sahaja terhadap dirinya.
“Sebenarnya saya tak nak umumkan yang saya secara rasmi sudah berhijab penuh sebabnya saya masih ada lagi komitmen kerja dengan ‘client’ yang mana menuntut saya memuat naik gambar yang tidak bertudung di media sosial. Nanti peminat akan keliru dengan perkara itu sebab mereka tidak faham dengan kerja kita.
“Sebab itu saya ambil pendekatan tidak mengatakan secara rasmi mengenai imej bertudung ini. Jangan paksa saya cakap yang saya dah bertudung secara tetap. Saya tahu apa yang saya buat, anda ikuti sahaja perkembangan saya di media sosial. Doakan sahaja yang baik-baik ya,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pelancaran produk baharu Ambi Pur, Ambi Pur Bathroom Fresh yang berlangsung di Mydin USJ, Subang Jaya hari ini.
Menurut pelakon cantik berusia 28 tahun itu lagi, dia tiada kekok untuk memakai tudung memandangkan beberapa bulan kebelakangan ini dia sudah terbiasa berhijab demi menjayakan watak yang dibawakan dalam drama bersiri Cemburu Seorang Perempuan.
“Sebelum mengerjakan umrah, memang saya tiada berniat pun lepas balik nak pakai tudung terus. Semua ini hidayah Allah SWT, ia datang secara tiba-tiba, saya tidak dapat mimpi atau apa-apa pun.
“Lagipun dua bulan sebelum ini saya dah biasa memakai tudung bagi drama Cemburu Seorang Perempuan, jadi saya memang tidak kekok langsung untuk bertudung. Tiada apa yang memaksa saya untuk bertudung. Lagipun ia perkara yang baik,” katanya.
Menurut Amyra lagi, suaminya, Amar Baharin menyenangi imej terbaharunya itu malah gembira dengan penampilan Amyra yang kini nampak semakin ayu dan sopan.
“Amar suka dengan imej saya yang berhijab, sebenarnya saya kalau tidak bertudung pun saya bukanlah seorang yang berpakaian seksi atau suka menghabiskan masa dengan clubbing dan sebagainya.
“Saya percaya dengan rezeki Allah, kalau dah bertudung pun insyaAllah ada rezeki di mana-mana. Tiada masalah untuk bertudung sebab dalam industri hiburan sendiri ramai yang bertudung cukup berjaya dalam bidang masing-masing seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Neelofa, Mizz Nina dan Wawa Zainal. Mereka ini banyak beri inspirasi kepada saya,” katanya yang kini sedang sarat hamil tujuh bulan.
Amyra dan Amar dijangka menimang cahaya mata kedua pada Januari tahun hadapan. – KopiPlanet.com