
Scha ‘Ok Je’ Netizen Samakan Rambut Dengan Kobis, Mop Lantai
Pelakon Scha Al-Yahya mengakui dia sedikit pun tidak berasa kecil hati dengan sikap sesetengah netizen yang mengutuk penampilan rambut pendeknya pada sambutan Aidilfitri lalu.
Menurut isteri kepada Awal Ashaari ini, apa yang penting baginya adalah tidak terlalu memikirkan komen-komen negatif yang dilemparkan terhadap imej baharunya itu.
“Saya gembira dapat potong rambut pendek kerana sudah beberapa tahun menyimpan rambut panjang, jadi ia seperti satu imej baharu dalam kerjaya saya.
“Apabila ada orang menyamakan rambut saya dengan kobis dan mop lantai, saya okey sahaja kerana saya seorang yang hati kering, mereka boleh mengata saya, cuma jangan sentuh anak saya sahaja,” katanya kepada KopiPlanet.com.
Scha ditemui pada majlis pelancaran trailer filem Bikin Filem di TGV The Strand, Kota Damansara hari ini.
Bikin Filem yang diarahkan Latiff Zami dijangka ditayangkan selepas sambutan hari raya Aidilfitri tahun hadapan.
Menurut Scha lagi dia mengambil pendekatan memotong rambut pendek ala ‘French Bob’ kerana menginginkan satu imej yang segar bersesuaian dengan watak Zarina yang dibawakannya dalam Bikin Filem.
“Saya ambil inspirasi rambut pendek Milla Jovovich. Saya dah agak lama tak potong rambut pendek jadi saya ambil keputusan untuk potong pendek.
“Ini rambut saya yang paling pendek daripada sebelum-sebelum ini. Saya rasa bebas, jadi buat masa sekarang, saya akan menikmati gaya ini sepuas-puasnya,” katanya lagi.
Kredit Foto: Instagram Scha Al-Yahya



