Cerita ArtisHiburan

Qhaliq Tangguh Tayangan, Ahmad Idham Gesa SWT Disiasat

Pengedar filem Qhaliq, Ahmad Idham mendakwa terdapat konspirasi dalaman melibatkan Skim Wajib Tayang (SWT) dan meminta satu jawatankuasa bebas ditubuhkan bagi menyiasat perkara tersebut.

Dakwaan itu disusuli selepas filem edaran syarikatnya, AIFA Motion Pictures terpaksa mengambil keputusan menarik kembali tarikh tayangan Qhaliq yang sepatutnya mula ditayangkan hari ini.

Menurut Ahmad Idham, keputusan menarik tayangan itu dibuat kerana enggan bersaing dengan satu lagi filem tempatan, Dukun yang secara tiba-tiba turut mendapat tarikh tayangan yang sama baru-baru ini.

“Saya percaya ada konspirasi dalaman yang terlibat dalam isu ini di kalangan orang-orang dalam Skim Wajib Tayang.

“Susulan itu saya menggesa mana-mana pihak yang bertanggungjawab seperti Finas untuk menubuhkan satu jawatankuasa bebas agar menyiasat perkara ini.

“Biar panel penilai yang adili perkara ini kalau saya salah. Tapi jangan terkejut kalau apa yang saya cakap ini adalah betul,” kata Ahmad Idham kepada KopiPlanet.com di sidang media yang diadakan di ibu kota, hari ini.

Selain Idham turut hadir pada sidang media itu ialah penerbit eksekutif Qhaliq, Hafiz Fauzi dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Khirudin Drahman @ Husaini.

Ahmad Idham menjelaskan pihaknya tidak mempunyai masalah untuk menangguhkan tayangan Qhaliq sekiranya memang ada filem tempatan lain yang ingin masuk pada tarikh yang sama namun sedikit kesal apabila mereka mendapat tahu mengenai perkara itu pada saat akhir.

“Kami menangguhkan tayangan bukan sebab takut bersaing. Kalau produser Dukun telefon kami cakap nak masuk 5 April, kami tetap akan tarik diri cumanya tak perlu buat mengejut macam ini. Bukan satu budaya untuk langgar filem orang macam ini,” jelasnya lagi.

Susulan itu, filem Qhaliq dijangka akan menemui penonton selewat-lewatnya pada Aidilfitri ini.

“Jika diikutkan selepas menarik keluar Qhaliq, kami perlu menunggu enam bulan sebelum ia boleh disenaraikan untuk tayangan.

“Tapi kami akan berbincang dengan Finas bagi mendapat kelonggaran memandangkan keputusan kami menarik diri kerana ingin beri laluan kepada Dukun.

“Kami menyasarkan pada Aidilfitri tetapi kalau ada slot kosong pada minggu ketiga atau terakhir bulan April ini kami harap Finas dapat beri kelonggaran itu untuk filem ini,” katanya.

Qhaliq diterajui barisan pelakon seperti Hairul Azreen, Risteena Munim,
Aliff Yasraf, Noralbaniah dan Azza Elite. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button