
Siti Nurhaliza Cipta Lagu Untuk Bakal Anak
Penyanyi No.1 negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin mendedahkan beliau sudah mencipta tiga buah lagu bagi menyambut kelahiran bayi sulungnya yang dijangka lahir Mac tahun hadapan.
Menurut Siti, beliau mendapat idea melodi tersebut ketika berada di bilik mandi.
“Saya sudah siapkan tiga melodi lagu untuk anak saya. Semua saya dapat ilham ketika berada dalam bilik mandi.
“Saya akan rakam lagu tersebut sebelum bersalin. Setakat ini saya sudah ada tiga melodi dan akan dipilih satu yang terbaik.
“Ia sebagai hadiah untuk anak saya. Bila saya nyanyi, saya tujukan kepada dia dan lagu akan kekal sampai bila-bila untuk dia,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang program realiti TV CTDK-ATION di Kuala Lumpur hari ini.
Dalam rancangan 10 episod itu, ia memaparkan aksi dan ragam 24 orang ahli keluarga Siti dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa ketika bercuti ke tiga negara iaitu Portugal, Sepanyol dan Dubai.
Mengenai lagu yang diciptakan khas itu, Siti berkata beliau ingin mencipta sendiri keseluruhan lagu tersebut termasuk daripada segi lirik bagi memberi kenangan terindah buat anugerah manis yang dikurniakan kepadanya dan suami.
Siti tidak dapat lari daripada pertanyaan adakah beliau akan menyorokkan anaknya selepas dilahirkan kelak, Siti berkata dia menyedari statusnya yang tidak dapat lari daripada menjadi perhatian umum.
“Siti sedar sebagai seorang selebriti, anak Siti juga menjadi tumpuan. Saya tidak ambil pendekatan sorok anak, tapi bagi saya ikut masa-masa yang sesuai (untuk muat naik gambar anak di laman sosial).
“Bagi saya Instagram ini satu cara yang mudah abadikan kenangan untuk anak. Cuma harap jangan kena hack sahajalah,” katanya dalam nada berseloroh.
Siti yang hamil enam bulan berkata beliau masih lagi tidak boleh makan makanan pedas dan masam.
“Saya alami alahan tak boleh makan makanan pedas dan masam padahal saya suka makan pedas sebelum ini.
“Walaupun begitu, saya hanya alami loya-loya sampai bulan keempat kehamilan sahaja. Alhamdullilah,” katanya lagi.
Ketika ditanya tentang jantina bayi yang sedang dikandungkan itu, Siti berkata, dia masih menunggu lampu hijau suaminya untuk dikongsikan kepada umum.
Siti menggemparkan peminat seluruh negara dengan berita pengumuman kehamilan sulungnya pada 13 Oktober lalu.
Siti dan suami yang bernikah pada 21 Ogos 2006 menunggu selama 11 tahun sebelum dikurniakan rezeki menimang cahaya mata. – KopiPlanet.com