
Sufian & Amira Othman Dipertemukan Dalam Lagu Takkan Merubah
Buat pertama kalinya dua penyanyi ini iaitu Sufian Suhaimi dan Amira Othman dipertemukan menerusi projek lagu runut bunyi filem Motif berjudul Takkan Merubah.
Mempertaruhkan lagu ciptaan Farouk Roman dan lirik oleh Amylea Azizan, lagu ini bakal menghiasi perjalanan filem Motif yang bakal menjengah pawagam seluruh negara mulai 26 September ini.
Meskipun ini merupakan kerjasama pertama mereka, namun kedua-duanya mampu melunaskan tanggungjawab diberikan dengan baik dan cemerlang sekali.
Walaupun senang bekerja dengan Amira, Sufian turut mengakui wujud cabaran ketika merakamkan lagu ini disebabkan ‘range’ vokal yang berbeza dengan Amira hingga mengambil sedikit masa untuk mencipta keserasian itu.
“Seperti yang saya bayangkan, bekerjasama dengan Amira sangat ‘fun’ dan mudah. Setiap masalah dibincangkan dengan baik dan masing-masing memberikan idea yang positif bagi menghasilkan melodi dan gabungan suara yang menarik.
“Perbezaan ‘range’ suara saya dengan Amira adalah cabaran utama bagi mendapatkan keselesaan dalam nyanyian. Proses rakaman juga lebih lama dari apa yang saya bayangkan. Kami mengambil masa lebih kurang lapan jam bagi menyiapkan proses rakaman,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pelancaran OST filem Motif berjudul Takkan Merubah yang diadakan di Red Box Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sementara itu, Amira menyifatkan kerjasama dengan Sufian suatu pengalaman menarik dan istimewa sepanjang penglibatannya sebagai seorang penyanyi.
“Sebenarnya, pada awalnya pihak pengurusan saya memaklumkan lagu duet ini dengan artis perempuan. Tiba-tiba ada pertukaran dan digantikan dengan Sufian.
“Walaupun ini kerjasama pertama kami tapi masing-masing sudah kenal lama sebab pernah jumpa di banyak acara tapi tidak pernah ada lagu bersama. Pendek kata, ia menjadi mudah buat kami untuk digandingkan bersama.
“Sekiranya lagu ini berjaya dan projek ini menjadi, tak salah jika kami ingin melakukan projek bersama lagi di masa akan datang dengan mencuba genre lagu lain misalnya,” ujarnya.
Muzik video Takkan Merubah kini boleh ditonton saluran Youtube Seventeen Eleven Music dan Aries Music. Yang menariknya, muzik video ini turut diarahkan pengarah filem Motif iaitu Nadiah Hamzah.
Filem Motif yang bergenre thriller ini dibintangi Datuk Rosyam Nor, Sharifah Amani, Mustaqim Mohamed dan Iedil Dzhurie Alaudin. – KopiPlanet.com