EventHiburan

Teater Semarak Pertiwiku Beri Kesedaran Bahaya Amal Rasuah

Gejala rasuah bukan merupakan satu isu asing di kalangan masyarakat Malaysia. Walaupun mengetahui kesan buruk yang bakal diterima jika melibatkan diri dalam gejala rasuah namun ia seakan menjadi perkara biasa sejak kebelakangan ini.

Sehubungan itu, inisiatif yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendidik masyarakat mengenai gejala rasuah melalui medium pementasan teater Semarak Pertiwiku wajar dipuji.

Dilakonkan pelakon seperti Ungku Ismail Aziz, Anding Indrawani Zaini, Sherie Merlis, Taufik Hanafi, Anas Ridzuan, Shakimin dan Chopie Cakap, Semarak Pertiwiku berjaya mencapai matlamatnya apabila ia dipersembahkan dengan cukup baik sepanjang tiga hari pementasannya yang bermula Khamis lalu di Panggung Sari, Istana Budaya.

Menurut Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Razim Mohd Noor, teater ini terlebih dahulu telah dipentaskan di Kuching, Sarawak pada tahun lalu. Untuk tahun ini, pihaknya dengan kerjasama Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) berpeluang sekali lagi mementaskan naskhah yang sama di Kuala Lumpur.

“Tujuan utama teater ini dipentaskan adalah untuk memberikan kesedaran tentang keburukan rasuah. Disebabkan sambutan cukup baik ketika ditayangkan di Kuching tahun lalu, pihak kami membawa pula Semarak Pertiwiku di Istana Budaya agar ia dapat mendekati penonton di sekitar Lembah Klang pula.

“Ia adalah satu inisiatif yang bagus kerana membuka mata masyarakat selain memberikan pendidikan daripada medium seni. Kalau segala keperluan mencukupi, kami ingin adakan jelajah Semarak Pertiwiku ke seluruh negara agar lebih ramai orang boleh menonton naskhah ini,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Sementara itu pengarahnya, Muhammad Azri Ali berkata teater yang menggabungkan bahasa Melayu Sarawak itu berjaya mencapai matlamatnya apabila penonton dilihat terhibur sepanjang pementasan itu berlangsung.

“Saya berdebar juga menantikan reaksi penonton, apakah mereka mampu mendapat mesej integriti disampaikan kerana dialek Melayu Sarawak yang diguna pakai itu? Namun, sebaik melihat penonton terhibur, saya sangat lega. Sekurang-kurang, mereka (penonton) faham dan sekali gus mesej itu diterima dengan jelas,.

“Jika pementasan di Sarawak dulu, saya menggunakan 100 peratus dialog dalam Melayu Sarawak, tetapi di sini perubahan dibuat sekitar 30 peratus.

“Ia tertumpu pada watak Datuk Shah lakonan Ungku Ismail yang saya fokus dialognya menggunakan bahasa Malaysia untuk memudahkan penonton memahami jalan cerita,” ujarnya.

Semarak Pertiwiku mengisahkan tentang Datuk Syah yang sentiasa meminta imbuhan dan ganjaran sekali gus menyalahgunakan jawatannya untuk kepentingan sendiri. Ibarat kata pepatah, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga, perbuatan Datuk Syah akhirnya berjaya dihidu SPRM sehingga dia disabitkan kesalahan. – KopiPlanet.com

Kredit foto: SPRM

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button