• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

Teh Terakhirku Hasil Ilham Ketika Berada Di Kota Suci Mekah

Bermula dengan menyertai pertandingan Juara Parodi 2015 sehinggalah mengerjakan umrah bersama keluarga masing-masing, begitulah keakraban yang dilihat antara pelawak Shuib Sepahtu dan penyanyi Mark Adam.

Menariknya, ketika berada di kota suci Mekah dua tahun yang lalu telah mencetuskan idea kepada mereka untuk menghasilkan sebuah lagu berjudul Teh Terakhirku.

“Sewaktu kami sedang menikmati teh, tiba-tiba melodi lagu ini muncul dalam kepala. Manakala tajuk lagu ini pula diperoleh semasa mengerjakan Tawaf Wida.

“Pada masa itu Mark sempat menyebut ‘ini teh terakhir kita’ sebelum menaiki bas. Kemudian dalam perjalan pulang, kami terus berbincang tentang idea pembikinan lagu ini,” jelas Shuib.

Menurut pelawak berkenaan, sepanjang berada di kota suci Mekah, Mark memang banyak bertanyakan soalan-soalan yang berkaitan dengan perkara keagamaan.

Jelasnya, dengan keadaan itu juga sebenarnya telah memberi ilham untuk dia dan Mark sama-sama menghasilkan lagu berkenaan.

> Baca: Lagu Raja Simurgh Ketengahkan Melodi Klasik Rasa Sayang

Dalam pada itu, ketika ditanya tentang kenapa lagu Teh Terakhirku ini disimpan selama dua tahun, Mark menjelaskan kekangan masa membuatkan mereka terpaksa menunggu masa yang lebih sesuai.

Ujarnya, selepas pulang dari mengerjakan ibadah umrah, dia dan Shuib terlalu sibuk dengan kerjaya masing-masing dan kini sudah tiba masanya untuk mereka memperdengarkan lagu tersebut kepada umum.

“Saya melihat Shuib seorang yang berbakat besar. Malah, sudah ada idea sendiri untuk lirik. Memang Tuhan mempermudahkan segala urusan kami untuk segera mengeluarkan lagu ini sempena Aidiladha tahun ini.

“Untuk bahagian rap kami ada mencadangkan beberapa nama, namun ia tidak kesampaian. Akhirnya peluang tersebut diberikan kepada Zynakal yang terus bersetuju dan merakamkan rap tersebut tidak sampai setengah jam menggunakan liriknya sendiri,” ujarnya.

Jelasnya, Teh Terakhirku bukan sahaja menggunakan metafora rukun umrah sebagai lirik tetapi juga menyelitkan selawat kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW sebagai elemen penarik.

“Sudah pasti ia bukan sahaja lebih dekat di hati pendengar, tetapi dalam masa yang sama mampu menarik minat kanak-kanak untuk berselawat dan mengenali ibadah umrah,” ujarnya. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend