• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

Saharul Ridzwan Mahu Anak Perempuan, ‘Cemburu’ Isteri Rapat Dengan Ali

Pelakon Saharul Ridzwan menyatakan dia teringin menimang cahaya mata perempuan dalam secepat mungkin berikutan ‘cemburu’ melihat keakraban hubungan anak lelakinya, Muhammad Luth Ali dengan isterinya, Qaabila Deena Emir.

Menurut Saharul, dia tidak menafikan kesibukan kerjayanya menjadi sebab kenapa dia kurang meluangkan masa bersama anaknya yang kini sudah berusia dua tahun itu.

“Kadang-kadang timbul perasaan cemburu bila lihat hubungan rapat Ali dengan ibunya, sampaikan ada ketika saya balik dari kerja pun, Ali tak tahu.

“Saya dapat belai dan cium dia waktu tidur sahaja. Orang cakap anak lelaki ni kan memang lebih rapat dengan ibu, jadi saya tak sabar nak timang anak perempuan sebab anak perempuan orang kata lebih rapat dengan bapa mereka,” katanya kepada KopiPlanet.com

Saharul ditemui pada majlis pelancaran filem Coast Guard yang berlangsung di The Rouge Club, Hotel Red, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menerusi filem aksi terbitan Arie Zaharie Production itu, Saharul bakal memegang peranan sebagai Leftenan Maritim yang menjaga keselamatan kawasan perairan negara.

Bercerita mengenai persiapannya menjelang proses penggambaran yang bakal bermula awal bulan hadapan, Saharul, 30, berkata dia ada meminta tip kecergasan daripada rakan artis, Hairul Azreen yang sebelum ini cukup dikenali menerusi filem aksi Paskal.

“Saya memang berkawan baik dengan Hairul dan dia pun ada berkongsi tip kecergasan melakukan transformasi bentuk badan seperti dilakukannya yang mengambil masa hanya lima minggu sahaja. Kalau Hairul boleh buat, saya pun mesti boleh buat.

“Sekarang saya dalam proses untuk mendapatkan berat badan ideal bagi watak ini. Berat badan saya sekarang boleh dikatakan berlebihan apabila mencecah 90 kilogram (kg). Saya sudah berjaya turun daripada 90 kg ke 83 kg sekarang. Tapi saya perlu turunkan lagi sehingga mencecah berat 78 kg,” ujarnya lagi.

Selain Saharul, Coast Guard yang diarahkan Hashim Rejab turut dibintangi Emma Maembong, Julia Farhana Marin, Sabri Yunus, Hazama, Black, Fauzi Nawawi, Aziz M.Osman dan Laila Nasir.

Penggambaran itu yang mendapat kerjasama daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia bakal diadakan di lokasi sekitar Langkawi, Kuantan dan Perlis. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend