Terkait Isu Status Halal, Perniagaan Restoran Ruhil Shafinaz Terjejas Teruk
Personaliti TV3, Ruhil Shafinaz bertegas menyatakan restoran BungaLawang Cafe miliknya bukanlah restoran yang diragui status halal seperti mana yang ditularkan menerusi aplikasi WhatsApp sebelum ini.
Menurut Ruhil, hal itu berlaku apabila terdapat pihak yang menyebarkan maklumat tidak sahih dengan menggunakan foto restoran miliknya sehingga membuatkan orang ramai keliru.
“Sejak beberapa minggu lalu terdapat satu WhatsApp yang tular dalam kalangan masyarakat kita berkenaan sebuah restoran yang disyaki menghidangkan makanan yang diragui status halalnya.
“Isu viral ini memang sensitif dan membangkit kemarahan ramai kerana melibatkan agama, bangsa dan soal menghidangkan makanan halal haram kepada jemaah umrah dan haji di KLIA,” kata Ruhil memetik kenyataan yang dikongsikan di laman Facebook miliknya.
Ruhil percaya, perkara berkenaan telah didalangi oleh individu yang cuba untuk memfitnah dan menganiaya perniagaan mliknya itu.
Ujarnya, lokasi restoran yang diperkatakan itu jelas berada di Desa Cempaka, Nilai dan KLIA, sedangkan restoran miliknya itu terletak di Bandar Baru Bangi.
Malah, isteri kepada pelakon Gibran Agi itu juga menyatakan restorannya itu juga tidak pernah mengambil pembekal ayam dari non-muslim.
“Kami menyedari tentang WhatsApp viral ini beberapa minggu lepas. Pada mulanya kami tidak pedulikan isu ini tetapi apabila WhatsApp itu disertakan dengan gambar hadapan restoran BungaLawang Cafe, saya rasa ada pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk menganiayai kami.
“Ini satu bentuk fitnah yang sangat jahat dan membunuh. Kesannya, orang ramai menjauhi restoran kami sehingga ia sunyi dan perniagaan terjejas teruk,” katanya lagi.
Susulan perkara itu, Ruhil memberitahu dia telah membuat laporan polis selain meminta pihak bertanggungjawab mengambil tindakan lanjut.
Menerusi mesej yang tular, bekas pekerja restoran yang diragui status halalnya itu mengakui terpaksa berhenti kerja kerana tidak sanggup melihat jemaah umrah dan haji yang pulang ke tanah air menjamu selera di restoran berkenaan.
Individu berkenaan mendakwa restoran tempatnya bekerja dahulu itu mengambil bahan-bahan masakan daripada pembekal bukan Islam selain was-was dengan cara penyembelihan ayam di premis tersebut. – KopiPlanet.com