Cerita ArtisHiburan

“Bukan Bunuh Diri Tapi Simbolik Hati Yang Tersakiti” – Aina Abdul

Penyanyi Aina Abdul memohon maaf sekiranya persembahannya menerusi lagu Sumpah pada pentas berprestij Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL 34) disifatkan keterlaluan dan melampaui batas seperti yang diperkatakan ramai pihak.

Menurut Aina, mesej darah yang melatari persembahannya itu hanyalah sebagai simbolik untuk menunjukkan hati seseorang yang terluka dalam perhubungan.

“Saya minta maaf sekiranya mesej yang ingin saya sampaikan ini dilihat melampaui batas atau keterlaluan seperti yang diperkatakan ramai. Saya tak boleh menghalang orang untuk bercakap mengenainya tetapi saya ingin tegaskan di sini isu darah itu bukan bunuh diri, sebaliknya ia sebagai simbolik kepada hati wanita yang terluka.

“Itu metafora yang saya cuba sampaikan seiring dengan lirik lagu Sumpah. Saya juga tidak ada membuat gaya seperti menikam diri sendiri, tetapi ia hanya gaya dan habit saya untuk menggayakan tangan sedemikian ketika melontarkan suara untuk menyanyi. Saya tidak akan guna isu bunuh diri dan tidak mungkin saya gunakan pentas AJL untuk buat sesuatu perkara yang salah,” jelasnya.

Aina ditemui pada majlis sidang media sebaik berakhir Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL 34) yang diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam Ahad.

Menurut penyanyi berusia 27 tahun itu, busana putih yang digayakannya itu mengambil inspirasi gaun putih Lady Gaga yang pernah dikenakan oleh penyanyi antarabangsa itu beberapa tahun lalu.

“Gaun putih yang saya pakai diambil inspirasi daripada baju yang pernah digayakan Lady Gaga menerusi acara Met Gala sebelum ini. Saya dan pasukan saya memikirkan cara untuk ‘feel’ lagu ini sampai kepada penonton dan disebabkan itu kami ambil tema darah sebagai perlambangan kepada hati yang terluka.

“Saya tidak kisah sekiranya video muzik persembahan saya di pentas AJL disekat pihak Youtube sebab bagi saya dah masuk final ini pun dah cukup bersyukur. Mungkin selepas ini kalau buat persembahan saya perlu letak disclaimer (penafian) siap-siap agar orang tidak terkeliru dengan konsep persembahan yang saya bawakan,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima, Johan Ishak berkata pihak penerbitan AJL 34 sentiasa mengambil tahu mengenai konsep yang diketengahkan barisan finalis.

Namun, kadang kala terdapat sesetengah penyanyi yang menyelitkan gimik-gimik tertentu pada saat akhir, yang mana tidak ditunjukkan pada sesi latihan penuh yang diadakan sehari sebelum majlis anugerah itu berlangsung.

“Pihak penerbitan memang sentiasa mengambil tahu mengenai konsep dan penceritaan yang ingin dibawakan setiap finalis. Namun begitu, ada juga sesetengah finalis yang membuat gimik pada saat-saat terakhir yang pihak penerbitan tidak tahu. Sepatutnya mereka perlu beritahu kepada kami.

“Pada sesi raptai penuh, mereka simpan gimik itu dan tidak tunjukkan sehingga pada hari berlangsungnya AJL. Perkara ini di luar kawalan kami memandangkan ia adalah siaran secara langsung. Kami akan panggil Aina untuk mendengar penjelasannya dahulu sebelum menyalahkan mana-mana pihak,” katanya.

Johan turut berkata video persembahan Aina jugak mungkin akan disekat pihak Youtube buat sementara waktu disebabkan isu yang dibangkitkan ini.

AJL 34 menyaksikan lagu dendangan dan ciptaan Naim Daniel merangkul juara, manakala Bangun nyanyian Aman Ra dan Anta Permana oleh Bob Yusof meraih tempat kedua dan ketiga. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button