Rancangan TVTV

Farid Kamil & Lisa Surihani Kembali Disatukan Dalam Pelindung Seorang Puteri

Selepas 10 tahun, Farid Kamil dan Lisa Surihani kini kembali bergandingan menerusi drama Pelindung Seorang Puteri yang akan disiarkan menerusi slot Megadrama Astro Ria, setiap Isnin hingga Khamis jam 10 malam bermula 28 Julai ini.

Farid dan Lisa sebelum ini pernah disatukan menerusi filem Lagenda Budak Setan, Semerah CInta Stiletto dan I’m Not Single.

Selain Farid dan Lisa, drama arahan suami Lisa, Yusry Abdul Halim ini turut dibintangi Sharnaaz Ahmad, Zain Hamid, Nadia Shahab, Jasmine Suraya, Pu Rizz, Haleeda Mazlin, Wan Nor Azlin dan Arash Mohd.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Kamal, “Setelah lebih empat bulan ‘berehat’, karya adaptasi novel Pelindung Seorang Puteri dipilih untuk menghiasi slot Megadrama di saluran Astro Ria dan Astro Ria HD. Tampil berbeza berbanding kisah cinta tipikal yang sering disajikan menerusi slot yang sama sebelum ini, Pelindung Seorang Puteri bakal menyuntik elemen romantik dan kejutan thriller dalam naratif penceritaan sebagai kelainan kepada para penonton yang pastinya tertunggu-tunggu buah tangan terbaharu daripada kami.”

“Kesemua barisan pelakon yang terlibat dalam drama ini sama ada watak besar atau kecil juga telah memainkan peranan yang cukup bermakna dengan lakonan mantap yang mampu mengagumi khalayak penonton melalui pembawaan
watak yang cukup berkesan. Drama Pelindung Seorang Puteri juga menjanjikan paparan yang menarik dengan olahan plot penceritaan penuh konflik yang mendebarkan.

“Tambah menarik lagi, single duet terbaharu penyanyi terkenal Hael Husaini dan Cakra Khan yang berpadu suara buat julung kalinya menerusi lagu Terlanjur Cinta turut diangkat menjadi lagu tema untuk drama bersiri ini,” katanya.

Drama terbitan Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd ini menjalani penggambaran selama 60 hari di sekitar Kuang, Rawang, Shah Alam dan Bangi. Pelindung Seorang Puteri merupakan hasil nukilan skrip daripada Sofia J Rhyland.

Pelindung Seorang Puteri mengisahkan Rose lakonan Lisa Surihani yang membawa diri jauh daripada keluarga setelah difitnah kerana sering diekori oleh pengendap misteri walaupun dia sendiri sebenarnya tidak pasti akan identiti pengendap misteri tersebut.

Adakah Firdaus (Zain Hamid), bekas kekasihnya yang masih menggilainya, Saiful (Farid Kamil), rakan sepermainan yang menyukainya sejak kecil atau Hazril (Sharnaaz Ahmad), kawan baik abang kandung Rose yang dalam diam meminatinya dari jauh. Siapakah yang akan menjadi pelindung Rose daripada terus diganggu oleh pengendap misteri tersebut? – KopiPlanet.com

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button