• FOLLOW US

Farid Kamil & Lisa Surihani Kembali Disatukan Dalam Pelindung Seorang Puteri

Selepas 10 tahun, Farid Kamil dan Lisa Surihani kini kembali bergandingan menerusi drama Pelindung Seorang Puteri yang akan disiarkan menerusi slot Megadrama Astro Ria, setiap Isnin hingga Khamis jam 10 malam bermula 28 Julai ini.

Farid dan Lisa sebelum ini pernah disatukan menerusi filem Lagenda Budak Setan, Semerah CInta Stiletto dan I’m Not Single.

Selain Farid dan Lisa, drama arahan suami Lisa, Yusry Abdul Halim ini turut dibintangi Sharnaaz Ahmad, Zain Hamid, Nadia Shahab, Jasmine Suraya, Pu Rizz, Haleeda Mazlin, Wan Nor Azlin dan Arash Mohd.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Kamal, “Setelah lebih empat bulan ‘berehat’, karya adaptasi novel Pelindung Seorang Puteri dipilih untuk menghiasi slot Megadrama di saluran Astro Ria dan Astro Ria HD. Tampil berbeza berbanding kisah cinta tipikal yang sering disajikan menerusi slot yang sama sebelum ini, Pelindung Seorang Puteri bakal menyuntik elemen romantik dan kejutan thriller dalam naratif penceritaan sebagai kelainan kepada para penonton yang pastinya tertunggu-tunggu buah tangan terbaharu daripada kami.”

“Kesemua barisan pelakon yang terlibat dalam drama ini sama ada watak besar atau kecil juga telah memainkan peranan yang cukup bermakna dengan lakonan mantap yang mampu mengagumi khalayak penonton melalui pembawaan
watak yang cukup berkesan. Drama Pelindung Seorang Puteri juga menjanjikan paparan yang menarik dengan olahan plot penceritaan penuh konflik yang mendebarkan.

“Tambah menarik lagi, single duet terbaharu penyanyi terkenal Hael Husaini dan Cakra Khan yang berpadu suara buat julung kalinya menerusi lagu Terlanjur Cinta turut diangkat menjadi lagu tema untuk drama bersiri ini,” katanya.

Drama terbitan Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd ini menjalani penggambaran selama 60 hari di sekitar Kuang, Rawang, Shah Alam dan Bangi. Pelindung Seorang Puteri merupakan hasil nukilan skrip daripada Sofia J Rhyland.

Pelindung Seorang Puteri mengisahkan Rose lakonan Lisa Surihani yang membawa diri jauh daripada keluarga setelah difitnah kerana sering diekori oleh pengendap misteri walaupun dia sendiri sebenarnya tidak pasti akan identiti pengendap misteri tersebut.

Adakah Firdaus (Zain Hamid), bekas kekasihnya yang masih menggilainya, Saiful (Farid Kamil), rakan sepermainan yang menyukainya sejak kecil atau Hazril (Sharnaaz Ahmad), kawan baik abang kandung Rose yang dalam diam meminatinya dari jauh. Siapakah yang akan menjadi pelindung Rose daripada terus diganggu oleh pengendap misteri tersebut? – KopiPlanet.com

Telefilem 6 Hari Tampil Kelainan, Hanya Jalani Penggambaran Di Kediaman

Sebagai pembuka tirai permulaan positif susulan perlaksanaan fasa perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) bermula semalam, Astro selaku pembekal kandungan utama di negara ini dengan berbesar hati membawakan tayangan telefilem istimewa berjudul 6 Hari yang bakal menemui para penonton pada hari Sabtu, 13 Jun 2020 pada pukul 9.00 malam.

Ia ditayangkan secara eksklusif di empat buah saluran utama iaitu Astro Ria (104), Astro Ria HD (124), Astro Citra (108) dan Astro Citra HD (128). Untuk pilihan yang lebih fleksibel, telefilem tersebut turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan On Demand.

Telefilem ‘6 Hari’ terbitan produksi Yureka Films dengan kerjasama Global Station Sdn Bhd ini diarahkan oleh Yusry Abdul Halim yang turut bertindak selaku penulis skrip di samping menyandang watak utama sebagai Faizal. Selain Yusry, telefilem ini turut diterajui oleh tiga selebriti popular tanah air iaitu Lisa Surihani yang memegang watak sebagai Suzi, Datuk Aaron Aziz (Ismal) dan Neelofa (Linda).

Istimewanya, keseluruhan penggambaran telefilem ini berjaya diselesaikan dalam masa enam hari, meskipun terikat dengan kekangan terutamanya daripada segi teknikal, bekalan peralatan dan tenaga produksi sewaktu penguatkuasaan tempoh kritikal perintah kawalan pergerakan (PKP) baru-baru ini.

Uniknya lagi, kesemua teraju utama yang menjayakan telefilem ini juga harus menjalani keseluruhan penggambaran secara sendiri dari kediaman masing-masing berdasarkan garis panduan yang diberikan.

Pengurus Saluran Astro Ria dan Astro Citra, Emarina Kamal berkata, pihaknya amat gembira dengan penerbitan buah tangan terbaharu menerusi telefilem 6 Hari ini kerana ia bakal melakar sejarah dan meletakkan tanda aras tersendiri sebagai permulaan resam baharu dalam bidang hiburan.

“Walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai kekangan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dalam menangani pandemik Covid-19, karya ini berjaya disudahkan hasil kerjasama kreatif dan komitmen semua pihak yang terlibat.

“Syabas kami ucapkan terutamanya kepada Yusry yang sanggup menyahut cabaran yang diberikan untuk berkarya di luar kotak dan zon selesa. Kami berharap 6 Hari mampu membuatkan penonton bergelumang dengan mainan emosi yang mendalam dan sama-sama kita saksikan apakah kesudahan drama ini nanti,” jelasnya.

Sementara itu, Yusry Abdul Halim selaku tulang belakang utama telefilem berkenaan menyatakan proses pembikinan telefilem ini amat mencabar, tetapi berasa amat berpuas hati dengan produk akhir karyanya itu.

“Secara dasar, telefilem ini mengisahkan tentang dua individu yang terperangkap dalam konflik berkaitan dengan ‘sebutir berlian’. Tetapi secara tersiratnya, ia tentang pencarian diri, dan bagaimana watak-watak tersebut matang seiring dengan peredaran masa.

“Penceritaan ini terbentuk bukanlah seperti yang saya rancang dari awal. Saya temui makna tersiratnya pada hari ketiga penggambaran. Semakin saya tulis, semakin lapisan tersirat cerita ini keluar sedikit demi sedikit,” jelasnya.

Telefilem 6 Hari mengisahkan tentang Suzi yang bahagia sebagai isteri ketiga kepada seorang ahli perniagaan yang berjaya bernama Ismal. Suzi tinggal bersendirian di sebuah banglo kerana suaminya hanya akan pulang ke rumah setiap enam hari untuk menghabiskan masa dengan isteri-isterinya yang lain.

Kehidupannya berjalan seperti biasa sehingga kemunculan bekas teman lelakinya, Faizal yang datang ke rumah. Faizal juga merupakan seorang bekas banduan yang baharu sahaja dibebaskan setelah dipenjarakan selama lapan tahun. Suzi yang kini sudah berubah menjadi seorang muslimah tiada pilihan lain dan terpaksa menerima kehadiran Faizal yang tidak diduga kerana bekas teman lelakinya itu telah mengugut untuk memberitahu kisah jenayah mereka kepada Ismal.

Suzi juga sering berhubungan dengan kawan baiknya, Linda untuk mendapatkan nasihat dan pandangan dalam usaha menyelesaikan konflik tersebut. Apakah yang akan berlaku? Adakah Ismal akan mengetahui sejarah silam Suzi? Adakah Faizal akan melepaskan Suzi dan melupakan segala yang berlaku di antara mereka? Sama-sama kita saksikan. – KopiPlanet.com

Geng Papar Tema ‘Girl Power’, Jalan Cerita Tidak Cliche

Jarang-jarang sekali tema kekuatan wanita dijadikan sebagai fokus utama dalam sesebuah jalan cerita, syarikat produksi Perempuan Productions mengangkat tema sedemikian bagi memberi kelainan menerusi filem televisyen (FTV) pertama terbitan mereka, Geng.

Dengan kekuatan barisan pelakon seperti Sherry AlHadad, Nadiya Nisaa, Lisa Surihani, Fatimah Abu Bakar, Hisyam Hamid dan Alif Satar, Geng berjaya menggarap watak setiap pemainnya dengan baik.

Sebagai pemilik bersama Perempuan Productions, Sherry berkata dia tidak mahu menghasilkan sebuah karya syok sendiri sebaliknya ingin melahirkan naskhah yang boleh memberikan nilai pengajaran lebih-lebih lagi untuk kaum wanita.

“Selalunya kita tengok banyak filem lebih tertumpu pada kekuatan lelaki, kali ini menerusi Geng kami menampilkan kisah persahabatan tiga wanita yang masing-masing mempunyai konflik kehidupan sendiri.

“Pada mulanya agak janggal juga saya untuk melakonkan watak gengster sebab sebelum ini saya lebih dikenali dengan watak komedi.

“Yang bestnya, semua rakan pelakon saling memberi dalam setiap lakonan mereka jadi secara tidak langsung ia menyeronokkan untuk berada dalam set setiap hari,” kata Sherry kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pratonton Geng di GSC Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Geng merupakan arahan Umie Salwana Omar. Menurut Umie, walaupun filem ini memaparkan banyak adegan berkaitan dadah namun ia bukan bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada bahan terlarang itu.

“Geng memang mahu menunjukkan kekuatan wanita dengan menampilkan permasalahan yang dihadapi wanita zaman sekarang. Filem ini bukan bertujuan nak promo dadah sebaliknya ia hanya plot bagi menguatkan lagi jalan cerita Geng.

“Sebelum memulakan penggambaran, kami terlebih dahulu meminta pandangan dan nasihat daripada pihak polis agar tiada adegan yang tidak bersesuaian dalam filem ini,” kata Umie.

Geng hanya mengambil masa selama 14 hari tempoh penggambaran dilakonkan di sekitar Kuala Lumpur, Kuala Kubu Baru dan penjara Kajang.

Geng mengisahkan tentang Isabella, seorang bekas banduan yang ingin meninggalkam dunia jenayah tetapi geng lamanya, Geng Naga Kilat memaksanya untuk membuat satu lagi penghantaran dadah yang terakhir.

Enggan berbuat demikian, akhirnya ibu Isabella telah diculik. Isabella ingin mendapatkan ibunya semula serta menumpaskan operasi geng lamanya, dia kemudiannya mendapat bantuan daripada dua kawan baiknya, Anita dan Mariam.

Adakah misi Isabella and the geng berjaya? Jangan lupa melanggan Geng di saluran Astro First Eksklusif (480) bermula 18 Julai ini. – KopiPlanet.com

Lisa Surihani Berazam Habiskan Khatam Al-Quran Ramadan Ini

Pelakon Lisa Surihani berazam untuk khatam Al-Quran sepanjang Ramadan ini bagi mendekatkan dirinya kepada Allah serta melipat gandakan ibadah pada bulan mulia ini.

Menurut isteri kepada Yusry Abdul Halim ini, dia ingin mengulangi aktivitinya tahun lalu di mana ibu kepada dua cahaya mata itu berkesempatan menghabiskan kesemua 30 juzuk Al-Quran pada bulan Ramadan.

“Sebenarnya sejak dari tahun lepas, saya cuba mengaji dan untuk khatam Al-Quran dan saya teruskan lagi pada tahun ini. Saya buat ini mungkin disebabkan faktor usia dan juga ingin mendekatkan diri kepada Allah.

“Walaupun ada sedikit kesilapan dan tak sempurna bacaan, saya terus belajar agar bacaan menjadi sempurna dan saya cuba untuk mengejar ibadah sebaik mungkin.

“Saya juga cuba untuk mencapai kualiti daripada kuantiti, maknanya biar perlahan-lahan asalkan bacaan sempurna. Setiap kali lepas solat, saya akan baca sekurang-kurangnya empat muka surat dan kebiasaannya akan sambung mengaji lama sedikit selepas solat Subuh dan Asar.

“Sekarang pun anak sulung saya, Yahaira Leanne pun ada terikut-ikut bila dia tengok saya solat dan mengaji. Sejuk hati saya dan perasaan hiba itu datang bila selesai solat dan dia datang cium saya,” kata Lisa kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama anak yatim anjuran Rocketfuel Entertainment di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Lisa lagi, dia mengambil pendekatan enggan tidak meletakkan aktiviti mengajinya di media sosial kerana merasakan bacaannya masih tidak lagi sempurna selain ia bertentangan dengan tujuan kenapa dia mahu mengaji pada asalnya.

“Saya mengaji bukan untuk menunjuk sebaliknya untuk mendekatkan diri kepada Allah, kalau saya buat itu ia dah lari tujuan asal. Tapi sekali-sekala saya ada juga berkongsi mana-mana ayat Al-Quran yang dibaca kepada pengikut di Instagram,” ujarnya lagi. – KopiPlanet.com